Khamis, 16 September 2021 | 3:33pm
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff

8 direman kes buang sisa kimia industri di Kempas

JOHOR BAHRU: Lapan suspek disyaki terbabit dalam insiden pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, di sini, malam kelmarin, direman tiga hari bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff, berkata seorang lagi suspek yang ditahan, sudah selesai diambil keterangan semalam, dan dilepaskan dengan jaminan polis.

Katanya, perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Kanan, Suhaila Shafi'uddin, selepas JAS membuat permohonan tahanan reman terhadap lapan suspek berkenaan, pagi tadi.

"Lapan suspek termasuk pemilik premis yang disyaki terbabit dalam insiden pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya di Sungai Tawakal, Kempas, direman tiga hari sehingga Sabtu ini.

"Ia bagi membantu JAS merakam keterangan kesemua suspek bagi melengkapkan kertas siasatan mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya ketika dihubungi.

Media semalam melaporkan, empat penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong, di sini, pengsan, manakala ratusan lagi terpaksa dipindahkan, selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia daripada sungai berhampiran kampung itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam Selasa itu, empat wanita berusia antara 22 hingga 49 tahun itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Sehubungan itu, arahan pengosongan kampung itu dibuat dengan 102 penduduk kampung terpaksa dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru, sebelum kesemua mereka dibenarkan kembali ke rumah lewat petang, semalam.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dilaporkan berkata, sembilan suspek sudah ditahan membabitkan lima warga tempatan serta empat warga asing selain pemilik premis, bagi membantu siasatan insiden pembuangan sisa kimia itu.

Ditanya sama ada pendakwaan akan dilakukan terhadap kesemua suspek yang ditahan reman itu, Mohd Famey berkata, JAS Johor berharap kesemua mereka akan didakwa.

"Ya, kita harap kesemua suspek akan didakwa secepat mungkin selepas kertas siasatan dilengkapkan," katanya.

Berita Harian X