Rabu, 15 September 2021 | 11:56am
Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

KPKT perkenal Rumah IKRAM dengan sewa RM124 sebulan

Oleh Rafidah Mat Ruzki

fidahruzki@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini memperkenalkan Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia atau Rumah Ikram KPKT bagi membantu keluarga yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata Rumah Ikram KPKT dikhususkan untuk rakyat negara ini yang terjejas akibat pandemik COVID-19 bagi keluarga berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

Beliau berkata, sewa Rumah Ikram KPKT ditetapkan pada kadar RM124 sebulan dengan tempoh setiap keluarga yang layak dibenarkan menyewa atau mendiaminya untuk maksimum selama dua tahun.

"Inisiatif ini bersifat penampan, khusus kepada rakyat Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID-19 seperti kehilangan atau kekurangan pendapatan, kehilangan pekerjaan sehingga tidak lagi mampu membayar sewa yang tinggi, dihalau keluar dari rumah sewa dan seumpamanya.

"Untuk permulaan, sejumlah 1,000 unit kediaman Rumah Ikram KPKT disediakan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan dan Johor.

"Inisiatif ini sebahagian daripada usaha bersasar KPKT bagi membantu kumpulan rakyat yang terkesan akibat COVID-19. KPKT juga sedang merangka beberapa lagi inisiatif bersifat responsif serta penampan untuk mengurangkan keresahan rakyat," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Reezal Merican menjelaskan, Ikram yang turut bermaksud "memuliakan" dalam bahasa Arab itu, dipilih sesuai dengan hasrat KPKT untuk memberi kemuliaan kepada Keluarga Malaysia yang memerlukan.

Katanya, Rumah Ikram KPKT itu juga sebahagian daripada agenda Malaysia Berdaya Huni yang digagaskan melalui fungsi serta peranan proaktif kementerian itu.

"Ia selari dengan matlamat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memperkasa gagasan Keluarga Malaysia yang bukan sahaja prihatin, malah responsif kepada keperluan rakyat," katanya.

Permohonan mendapatkan kemudahan Rumah Ikram KPKT sudah dibuka menerusi portal TEDUH KPKT melalui capaian https://teduh.kpkt.gov.my.

Antara syarat permohonan Inisiatif Kediaman Keluarga Malaysia itu termasuk pemohon dan pasangan warga Malaysia; pemohon berusia 18 tahun dan ke atas; tidak memiliki rumah, tempoh sewaan ditamatkan tuan rumah atau seumpamanya; dan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 sebulan.

Sebarang pertanyaan mengenai program ini boleh diajukan ke talian hotline Jabatan Perumahan Negara (JPN), KPKT di talian 03-8891 4475.

Berita Harian X