Rabu, 15 September 2021 | 10:49am
Tompokan minyak kelihatan di tali air di Kampung Baru Maju Sri Aman, Kempas. - Foto NSTP/Omar Ahmad
Tompokan minyak kelihatan di tali air di Kampung Baru Maju Sri Aman, Kempas. - Foto NSTP/Omar Ahmad

Penduduk lihat kepulan asap dari tali air

JOHOR BAHRU: Selain menghidu bau busuk seperti tayar dibakar, penduduk turut melihat kepulan asap dari tali air di belakang Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, di sini, malam tadi.

Penduduk turut mendakwa hidupan akuatik termasuk ikan dan labi-labi bergelimpangan mati di tali air, lokasi bau busuk mula dikesan.

Penduduk, A Khalib Muslim, 70, berkata bau busuk yang menyesakkan nafas itu dihidu sejak jam 9 malam sehingga awal pagi tadi.

"Selepas solat Isyak penduduk menghidu bau hangit seperti tayar dibakar yang amat kuat.

"Saya termasuk penduduk lain mula mencari-cari sumber dari manakah bau busuk itu datang sebelum melihat kepulan asap keluar dari tali air berdekatan.

"Apabila suluh di tali air berkenaan kami nampak ikan serta labi-labi mati malah kami juga sukar bernafas sebelum kekecohan berlaku apabila ada penduduk yang pengsan," katanya ketika ditemui.

Media pagi ini melaporkan, dua penduduk Kampung Baru Sri Aman pengsan, manakala lebih 100 penduduk terpaksa dipindahkan, selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia daripada sungai berhampiran kampung itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam tadi itu, dua wanita masing-masing berusia 20 serta 40 tahun itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Sehubungan itu, arahan pengosongan kampung itu dibuat dengan 102 penduduk kampung terpaksa dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru.

Sementara itu tinjauan di Kampung Baru Sri Aman mendapati hampir 40 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berada di lokasi kejadian dan membuka sebuah bilik gerakan.

Orang awam termasuk penduduk turut dilarang memasuki lokasi kejadian dengan pita keselamatan turut dipasang di kawasan berhampiran.

Berita Harian X