Rabu, 15 September 2021 | 7:06am

Tumpahan bahan kimia: 2 pengsan, lebih 100 dipindahkan

JOHOR BAHRU: Dua penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong, di sini, pengsan, manakala lebih 100 orang dipindahkan susulan bau busuk disyaki tumpahan bahan kimia di sungai berhampiran kampung berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam tadi, dua wanita masing-masing berusia 20 dan 40 tahun itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Sehubungan itu, arahan pengosongan kampung itu dibuat dengan 102 penduduk terpaksa dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru.

Dua penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong, di sini, pengsan, selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia daripada sungai berhampiran kampung itu, malam tadi. - Foto ihsan Bomba
Dua penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong, di sini, pengsan, selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia daripada sungai berhampiran kampung itu, malam tadi. - Foto ihsan Bomba

Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Ketua Unit HAZMAT Jabatan Penyelamat Bomba Malaysia (JBPM) Johor, Saiful Bahri Safar, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 10.22 malam sebelum pasukan penyelamat pertama tiba di kampung berkenaan 15 minit kemudian.

Katanya, seramai 24 pegawai dan anggota dengan lima jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas, Larkin dan Johor Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Hasil ujian awal, bomba mengesyaki tumpahan itu adalah bahan buangan kimia berjadual 'methyl alcohol' dengan kepekatan 120 ppm (bahagian per juta).

"Bomba mengarahkan rumah di dalam lingkungan 150 meter daripada sungai itu segera dikosongkan bagi mengelakkan insiden tidak diingini.

"Pengawasan dan pengawalan turut dilakukan secara berterusan di lokasi kejadian bagi memantau keadaan udara di kawasan kampung itu dan sekitarnya.

"Pengesanan dengan menggunakan kaedah menyusuri sungai turut dilakukan bagi mengetahui punca sebenar tumpahan kimia berkenaan," katanya.

Saiful Bahri berkata, menerusi tinjauan sehingga jam 3 pagi tadi mendapati bau seakan petrol masih dapat dihidu sejauh kira-kira 300 meter dari anak sungai di kampung berkenaan.

"Usaha pengesanan tumpahan masih diteruskan dan pihak bomba turut memohon bantuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Unit HAZMAT JBPM Melaka," katanya.

Dua penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong, di sini, pengsan, selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia daripada sungai berhampiran kampung itu, malam tadi. - Foto ihsan Bomba
Dua penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong, di sini, pengsan, selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia daripada sungai berhampiran kampung itu, malam tadi. - Foto ihsan Bomba
Berita Harian X