Sabtu, 11 September 2021 | 3:44pm

19,550 kes positif baharu COVID-19 hari ini

PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan sebanyak 19,550 kes positif baharu COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes sejak Januari tahun lalu hingga kini, 1,960,500 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Sarawak terus mencatatkan jumlah kes positif harian tertinggi dengan 3,743 kes.

Ia disusuli Selangor dengan 2,416 kes baharu hari ini; Johor (2,282); Sabah (2,163); Pulau Pinang (1,865); Kedah (1,390); Perak (1,354); dan Kelantan (1,320).

Negeri lain turut mencatatkan pertambahan kes iaitu Terengganu dengan 953 kes; Pahang (722); Kuala Lumpur (555); Melaka (490); Negeri Sembilan (198); Perlis (73); Putrajaya (24) dan Labuan, dua kes.

Beliau berkata, daripada 19,550 kes positif baharu yang dilaporkan hari ini, tujuh daripadanya membabitkan kes import iaitu lima warganegara dan dua bukan warganegara manakala bagi penularan tempatan, sebanyak 19,543 kes dilaporkan iaitu 17,153 warganegara (87.8 peratus) dan 2,390 bukan warganegara (12.2 peratus).

"Daripada 19,550 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 265 kes (1.4 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 19,285 kes (98.6 peratus) lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2.

"Sebanyak 1,247 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 936 kes COVID-19 manakala 311 kes disyaki, berkemungkinan dan kes dalam siasatan.

"Kes memerlukan bantuan pernafasan membabitkan 667 kes iaitu 453 kes COVID-19 dan 214 kes," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan sebanyak 28 kluster hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 5,087 kluster dengan 3,641 kluster sudah ditamatkan manakala 1,446 kluster masih aktif.

Daripada 28 kluster baharu yang dikesan, 17 membabitkan kluster tempat kerja; enam kluster komuniti, tiga kluster kumpulan berrisiko dan dua kluster pendidikan dengan jumlah pesakit kesemuanya berjumlah 823.

Selain itu, katanya, sebanyak 21,771 kes sembuh dilaporkan setakat tengah hari tadi, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19 adalah 1,700,733 kes atau 86.7 peratus daripads keseluruhan kes.

Bagaimanapun, bilangan kes kematian untuk hari ini akan hanya dimuatnaik tengah malam nanti dalam laman sesawang COVIDNOW.

Sementara itu, nilai kadar kebolehjangkitan (RT) Malaysia setakat semalam direkodkan pada 0.99, meningkat 0.02 berbanding semalam.

Sarawak masih kekal pada nilai RT 1.15, diikuti Terengganu pada nilai RT 1.10; Perlis (1.06); Perak (1.05); Johor dan Pulau Pinang masing-masing mencatatkan nilai RT 1.04; manakala Kelantan dan Pahang masing-masing mencatatkan nilai RT 1.03.

Negeri lain mencatatkan nilai RT kurang daripada 1.00 iaitu Kedah dengan nilai RT 0.97; Putrajaya (0.96); Sabah (0.93); Melaka (0.92); Selangor (0.83); Negeri Sembilan (0.82); Kuala Lumpur (0.80) dan Labuan terus mencatatkan nilai RT 0.

Berita Harian X