Sabtu, 11 September 2021 | 1:41pm
Pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun penting dalam memastikan keselamatan dan nyawa mereka lebih terjamin. - Foto NSTP
Pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun penting dalam memastikan keselamatan dan nyawa mereka lebih terjamin. - Foto NSTP

Langkah proaktif vaksin pelajar 12 hingga 17 tahun - i-Guru

KUALA LUMPUR: Pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun yang akan dilakukan serentak dengan pembukaan sesi persekolahan penting dalam memastikan keselamatan dan nyawa pelajar lebih terjamin.

Presiden Persatuan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hassan, berkata usaha itu juga dapat mempercepatkan pembukaan persekolahan secara bersemuka.

"Ia sekali gus dapat mengelak daripada berlaku keciciran pelajaran dan kesejahteraan mental akibat sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang terlalu lama.

"Usaha ini adalah satu langkah proaktif dalam memastikan pembukaan sekolah nanti menjadi lebih selamat dan komuniti sekolah juga akan kembali pulih," katanya kepada BH hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini menyasar 3.2 juta remaja berusia 12 sehingga 17 tahun lengkap divaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) remaja menjelang hujung tahun ini.

Pemberian vaksin itu membabitkan dua fasa iaitu diberi kepada satu juta remaja berusia 16 hingga 17 tahun bagi pelajar mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diikuti fasa dua diperluaskan kepada dua juta remaja berusia 12 hingga 15 tahun.

Mohd Azizee berkata, memandangkan jumlah pelajar yang ramai akan mengambil suntikan vaksin kelak, ia sudah pasti akan mengambil tempoh yang agak lama.

Justeru, beliau berharap sesi persekolahan secara bersemuka hanya dibuka kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan dan lengkap vaksin terlebih dulu.

"Saya cadangkan sesi persekolahan pelajar yang belum mendapatkan suntikan vaksin iaitu mereka berusia 12 hingga 15 tahun hanya bermula selepas lengkap divaksin.

"Jika perlu, mulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada tahun depan saja kerana sudah pasti akan mengambil tempoh yang lama untuk selesaikan proses vaksinasi kepada semua pelajar," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, i-Guru turut mencadangkan semua sekolah menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kepada pelajar.

"Ia akan memudahkan ibu bapa kerana kebanyakan sekolah berada di kawasan perumahan, sekali gus dapat mempercepatkan lagi proses vaksinasi kepada pelajar," katanya.

Berita Harian X