Jumaat, 10 September 2021 | 11:07am

Kanger yakin prospek kumpulan kekal cerah

KUALA LUMPUR: Pengeluar lantai buluh Kanger International Bhd (Kanger) yakin yang prospek kumpulan itu kekal cerah, didorong terutamanya oleh pembelian 51 peratus saham pembekal bahan binaan, Sung Master Holdings Sdn Bhd pada harga RM94.8 juta.

"Pembelian Sung Master akan meningkatkan prestasi kewangan kami secara positif kerana ia adalah sebuah syarikat yang menguntungkan.

"Untuk tahun ini, kami menjangkakan Sung Master untuk memberikan anggaran keuntungan selepas cukai dan pendapatan masing-masing sekitar RM20 juta dan RM115 juta, "kata Pengarah Eksekutifnya, Steven Kuah Choon Ching.

Sung Master mencatatkan prestasi menguntungkan yang konsisten bagi tiga tahun kewangan lalu dari tahun kewangan 31 Januari 2018 sehingga tempoh kewangan 17 bulan diaudit yang berakhir 30 Jun 2020, dan tempoh kewangan 10 bulan tidak diaudit terbaharu berakhir 30 April 2021.

Selain itu, Sung Master malahan membayar dividen berjumlah RM25 juta dalam tempoh berkenaan.

Syarikat itu juga secara konsisten merekodkan margin keuntungan sebelum cukai (PBT) dua digit selama dua tahun kewangan dengan gearing yang rendah iaitu 0.63 kali dan juga nisbah semasa yang kukuh sebanyak 2.4 kali, menunjukkan aliran tunai operasi yang kukuh.

Sung Master terbabit terutamanya dalam penjualan dan perdagangan bahan binaan, meliputi lantai kayu, jubin, simen pukal, konkrit, set kunci dan perkakas kebersihan, dengan pelanggan terdiri daripada pemain hartanah dan pembinaan serta perunding kejuruteraan.

Kanger baru-baru ini mempelbagaikan perniagaan pembinaan dan pembelian Sung Master adalah sebahagian daripada strategi pertumbuhan kumpulan itu untuk meningkatkan kelebihan daya saingnya ketika membida projek baharu dalam industri pembinaan.

"Dengan memanfaatkan rangkaian pembekal Sung Master sedia ada, kami dapat memperoleh bahan binaan dengan harga yang ecara relatifnya kompetitif. Ini akan menghasilkan kecekapan kos yang lebih tinggi ketika menender projek baharu," kata Steven.

Kumpulan kini sedang mengusahakan projek pembinaan dengan nilai kontrak dalam tangan kira-kira RM1 bilion dan sedang memohon lesen kontraktor Gred 7 dari Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang akan membolehkannya melaksanakan projek pembinaan dalam pelbagai nilai.

Sebagai tambahan, Kanger juga telah memperluas portfolio hartanah pelaburannya dengan pembelian RM142.9 juta membabitkan 126 unit pangsapuri servis di Antara @ Genting Highlands.

Pembangunan hartanah itu dijangka siap pada tahun 2024.

"Setelah unit pangsapuri perkhidmatan ini siap, hartanah ini akan membawa aliran pendapatan berulang dengan cara menerima pendapatan sewa.

"Selain itu, kami juga akan mendapat keuntungan daripada kenaikan nilainya apabila hartanah ini dijual, kerana kami berjaya membeli unit ini pada harga yang menarik."

Tambahnya lagi,Genting Highlands adalah destinasi pelancongan yang menarik untuk pelancong tempatan dan antarabangsa.

"Kami yakin unit pangsapuri ini akan mendapat permintaan tinggi selepas sekatan perjalanan ditarik dan kegiatan pelancongan kembali normal," katanya.

Perniagaan sedia ada buluh kumpulan itu terganggu disebabkan oleh sekatan pergerakan di China dan Malaysia susulan pandemik COVID-19 yang mempengaruhi penjualan pada tahun lalu.

"Kami meluangkan masa ini untuk meneroka dan mengenal pasti pelbagai peluang untuk mengembangkan portfolio pendapatan kami ke bidang baharu yang menjadi pelengkap kepada kecekapan teras kami. Selain pelaburan hartanah, kami juga memutuskan untuk mempelbagaikan ke dalam perniagaan pembinaan."

Kanger kini sedang melalui terbitan hak yang boleh ditolak dengan waran berdasarkan satu bahagian hak untuk setiap saham yang ada, bersamaan dengan satu waran yang dapat dilepaskan untuk setiap saham hak yang dilanggan.

Pada harga terbitan RM0.06 sesaham hak, eksesais itu dapat meningkatkan hasil kasar sehingga RM20 juta di bawah senario kes minimum dan RM171.7 juta di bawah senario kes maksimum.

"Kami meletakkan kumpulan pada landasan yang lebih kukuh dan berdaya tahan dan berharap pemegang saham kami turut serta dalam visi kami.

"Dengan pelaksanaan terbitan hak, pemegang saham kami akan berpeluang untuk mengambil bahagian dalam prospek dan pertumbuhan kumpulan kami di masa hadapan," katanya.

Berita Harian X