Khamis, 9 September 2021 | 12:44pm
Pembukaan semula sekolah disaran hanya membabitkan murid tahun peperiksaan berasaskan kemampuan di peringkat sekolah masing-masing. - Foto fail NSTP
Pembukaan semula sekolah disaran hanya membabitkan murid tahun peperiksaan berasaskan kemampuan di peringkat sekolah masing-masing. - Foto fail NSTP

Syor buka sekolah hanya untuk murid kelas peperiksaan, lengkap vaksinasi

PUTRAJAYA: Pembukaan semula sekolah disaran hanya membabitkan murid tahun peperiksaan berasaskan kemampuan di peringkat sekolah masing-masing dalam memastikan semua pelajar terbabit sudah lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata beliau sebelum ini pernah mencadangkan supaya tarikh pembukaan sekolah ditentukan berdasarkan tarikh proses lengkap vaksinasi.

Ia, katanya, lebih sesuai berbanding keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) yang pada mulanya menetapkan 1 September untuk pelajar kembali ke sekolah sebelum diubah kepada 3 Oktober.

Beliau berkata, prasyarat utama pembukaan sekolah untuk calon peperiksaan utama ialah mereka mesti lengkap divaksinkan, namun data terkini menunjukkan kumpulan pelajar terbabit belum menerima pelalian berkenaan.

"Ketika ini, proses vaksinasi baru bermula semalam di Sarawak, masih ada 500,000 murid tahun peperiksaan yang belum divaksinkan walaupun untuk dos pertama. Biasanya selepas dos pertama, perlu tunggu 21 hari untuk dos kedua. Selepas dos kedua, keberkesanan vaksin hanya selepas 14 hari bagi Pfizer.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad.

"Maksudnya, semua proses ini memerlukan sekurang-kurangnya 35 hari untuk lengkap sepenuhnya. Itulah yang kita tahu berkaitan maklumat proses vaksinasi. Proses melengkapkan aturan vaksinasi sahaja sudah 35 hari, sedangkan pembukaan sekolah pada 3 Oktober, hanya 22 hari sahaja lagi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, tempoh 35 hari itu adalah dengan andaian semua murid selesai menerima dos pertama pada hari ini, sekali gus tidak mungkin sesi persekolahan boleh dibuka pada 3 Oktober jika vaksinasi lengkap menjadi prasyarat pembukaan semula sekolah.

Katanya, jika KPM bertegas mahu sekolah dibuka pada 3 Oktober nanti, ia bermaksud murid tahun peperiksaan akan ke sekolah dalam keadaan masih belum lengkap vaksinasi atau langsung belum menerima vaksin, sekali gus menimbulkan keraguan dengan tarikh pembukaan sekolah pada awal bulan depan.

"Lagipun, peningkatan kes baharu yang sangat tinggi antara 17,000 hingga 20,000 setiap hari sejak beberapa minggu lalu dan kematian melebihi 350 nyawa sehari, pastinya sangat membimbangkan ibu bapa untuk membenarkan anak ke sekolah.

"Sepatutnya, ditetapkan jika hari ini selesai vaksinasi lengkap di sesebuah sekolah, maksudnya sekolah itu bolehlah dibuka 14 hari kemudian," katanya turut menyarankan vaksinasi secara bersasar seperti murid kelas peperiksaan di pedalaman yang tiada internet dan peranti, diutamakan kerana mereka sangat perlu ke sekolah untuk belajar.

Beliau berkata, bagi murid-murid yang mempunyai peranti dan kemudahan internet, mereka masih boleh meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) buat sementara sehingga selesai proses vaksinasi lengkap.

"Kesihatan dan nyawa murid-murid mestilah menjadi keutamaan," katanya.

Berita Harian X