Khamis, 9 September 2021 | 10:00am
Lebih 50 peratus populasi keseluruhan di negara ini sudah menerima vaksinasi lengkap. - Foto hiasan NSTP
Lebih 50 peratus populasi keseluruhan di negara ini sudah menerima vaksinasi lengkap. - Foto hiasan NSTP

Lebih 50 peratus populasi keseluruhan terima dos lengkap

KUALA LUMPUR: Lebih 50 peratus populasi keseluruhan di negara ini sudah menerima vaksinasi lengkap.

Menerusi aplikasi Twitter Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) menunjukkan, setakat jam 11.59 malam tadi, seramai 16,492,295 orang populasi keseluruhan atau 50.5 peratus sudah menerima dos vaksin lengkap.

Sementara itu, seramai 20,943,582 atau 64.1 peratus populasi keseluruhan sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Ini menjadikan, jumlah kumulatif pemberian vaksin COVID-19 di seluruh negara meningkat kepada 37,392,241 dos, membabitkan sebanyak 20,943,562 dos pertama, manakala 16,492,295 ialah dos kedua pelalian itu.

Bagi jumlah populasi dewasa di negara ini pula, sebanyak 70.5 peratus sudah lengkap divaksinasi dan 89.5 peratus sekurang-kurangnya menerima satu dos.

Lembah Klang merekodkan jumlah peratus populasi keseluruhan yang paling tinggi menerima vaksinasi lengkap dengan 6,065,343 orang atau 72,peratus diikuti Wilayah Persekutuan Labuan dengan 65,564 (65 peratus) dan Sarawak dengan 1,795,106 (63.7 peratus).

Sementara itu, Kedah, Kelantan dan Sabah mencatatkan peratusan pemberian vaksin lengkap bagi populasi keseluruhan paling rendah iaitu masing-masing 782,376(35.8 peratus), 625,821 (32.8) dan 1,297,253 (33.2).

Semalam, sejumlah 320,452 dos vaksin diberikan seluruh negara dengan 128,038 ialah dos satu manakala 192,414 dos lengkap.

Berita Harian X