Rabu, 8 September 2021 | 5:07pm
Ibu bapa positif sekolah dibuka Oktober ini di negeri beralih ke Tiga Fasa PPN. - Hiasan. FOTO NSTP
Ibu bapa positif sekolah dibuka Oktober ini di negeri beralih ke Tiga Fasa PPN. - Hiasan. FOTO NSTP

Ibu bapa sokong pembukaan sekolah

SEREMBAN: Majoriti ibu bapa di Negeri Sembilan menyambut baik rancangan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membuka semula sesi persekolahan bersemuka bermula 3 Oktober ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata sokongan positif ditunjukkan ibu bapa selepas Negeri Sembilan beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan memberikan kerjasama kepada KPM merangka kaedah terbaik menjayakan program vaksinasi terhadap pelajar di negeri ini.

"Semalam, saya dijemput berbincang dengan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin dalam sesi libat urus bersama pihak berkepentingan di Negeri Sembilan berhubung pembukaan sekolah.

"Kerajaan negeri akan memberikan komitmen tinggi untuk bantu pihak sekolah khususnya bagi program pemberian vaksin terhadap pelajar.

"Kita berpandangan vaksinasi terhadap pelajar amat penting sebelum sesi persekolahan bersemuka bermula dan keutamaan harus diberikan kepada mereka yang akan mengambil peperiksaan utama seperti pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam," katanya kepada pemberita di perkarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Semalam, Radzi mengadakan sesi libat urus bersama pemegang taruh pendidikan di Negeri Sembilan bagi membincangkan berhubung pembukaan sekolah di negeri yang sudah memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sesi berkenaan disertai wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru, guru besar dan pengetua sekolah seluruh Negeri Sembilan dalam usaha KPM memuktamadkan pelan komprehensif pembukaan sekolah, bulan depan.

Aminuddin berkata, pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Negeri Sembilan akan meneliti kaedah terbaik bagi menjayakan pemberian vaksinasi terhadap pelajar.

"Kita mungkin akan memperbanyakkan Program Outreach Vaksinasi COVID-19 kerana ia lebih cepat dan mudah berbanding mewujudkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sekolah," katanya.

Berita Harian X