Rabu, 8 September 2021 | 11:35am
Mohd Khairul Adib
Mohd Khairul Adib

JPA sedia arah lebih ramai penjawat awam masuk pejabat

Kuala Lumpur: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersedia untuk mengarahkan supaya jumlah kakitangan awam ke pejabat, ditingkatkan selari dengan kadar vaksinasi di negara ketika ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata jumlah kehadiran kakitangan awam di pejabat juga akan ditingkatkan dengan mengambil kira faktor lain khususnya pembukaan lebih banyak sektor ekonomi.

Bagaimanapun, katanya sebarang peningkatan kakitangan awam ke pejabat itu tertakluk kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Tertakluk kepada MKN, kita bersedia mengarahkan penjawat awam hadir ke pejabat di mana jumlahnya akan ditingkatkan selaras dengan peratusan kadar vaksinasi dan apabila pembukaan ekonomi semakin banyak," katanya kepada BH, di sini hari ini.

Sebelum ini, berdasarkan tatacara bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam dan pengoperasian pejabat kerajaan mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), bagi pejabat kerajaan di kawasan yang berada dalam Fasa 1, maksimum 40 peratus daripada penjawat awam bekerja di pejabat dan 60 peratus lagi secara BDR; kaunter perkhidmatan beroperasi pada kadar 50 peratus dengan kehadiran pelanggan secara janji temu manakala mesyuarat juga secara dalam talian.

Pejabat kerajaan yang beroperasi di kawasan yang kini dalam Fasa 2 PPN pula boleh membenarkan 60 peratus penjawat awam bekerja di pejabat dan 40 peratus secara BDR; perkhidmatan kaunter juga pada kadar 60 peratus namun mesyuarat masih lagi secara dalam talian.

Sebanyak 80 peratus penjawat awam boleh bekerja di pejabat dalam Fasa 3 PPN dengan 20 peratus lagi secara BDR, dan perkhidmatan kaunter adalah pada kadar 80 peratus dan kehadiran pelanggan dibenarkan tanpa janji temu manakala mesyuarat dibenarkan secara hibrid dengan kapasiti dalam bilik mesyuarat tidak lebih 50 peratus.

Fasa 4 pula membolehkan semua penjawat awam bekerja dari pejabat dengan mereka yang memerlukan masih dibenarkan secara BDR.

Berita Harian X