Rabu, 1 September 2021 | 8:15pm
Dr Hanafiah Bashirun. - Foto FAIL NSTP
Dr Hanafiah Bashirun. - Foto FAIL NSTP

Masukkan pesakit kategori 3 ke hospital - pakar

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) disaran terus memasukkan pesakit COVID-19 kategori 3 ke hospital yang dilengkapi kemudahan unit rawatan rapi (ICU) dan peralatan penting, berbanding membiarkan mereka menjalani kuarantin kendiri.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun, berkata pesakit COVID-19 dalam kategori berkenaan tidak wajar ditempatkan di hospital sementara, dewan hotel atau bangunan yang mempunyai persekitaran seumpamanya.

"Sebaliknya, pesakit dalam kategori 3 perlu terus dimasukkan ke hospital yang dilengkapi kemudahan ICU dan peralatan penting, khususnya untuk membantu sistem pernafasan. Kalau di bangunan berbeza atau persekitaran sementara, ia akan mengundang masalah.

"Lebih leceh apabila kesihatan pesakit kategori 3 terus merosot ke kategori 4 atau 5. Pemindahan pesakit ini memerlukan masa, justeru lebih baik mereka ditempatkan terus di hospital sebenar bagi memberi ruang petugas perubatan bersiap sedia dengan kemungkinan terburuk.

"Ini kerana penelitian semasa mendapati kesihatan pesakit COVID-19 kategori 3 boleh merosot ke kategori 5 dalam tempoh 24 jam, mungkin angkara varian Delta," katanya kepada BH semalam.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta KKM meneliti semula kaedah rawatan dan kuarantin pesakit COVID-19 sekarang terutama membabitkan pesakit kategori 3.

Bekas Perdana Menteri berkata, perlu diwujudkan hospital sementara bagi menampung pesakit kategori itu meskipun mereka dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.

Ini kerana, kata Dr Mahathir lagi, kategori 3 menunjukkan tanda paru-paru pesakit dijangkiti, sekali gus memerlukan mereka kuarantin di hospital berbanding di rumah kerana fasiliti kesihatan itu dilengkapi alat bantuan pernafasan.

"Amalan sekarang ialah (pesakit) yang teruk, yang sudah memerlukan oksigen dan menggunakan alatan untuk diberi oksigen dengan tekanan tinggi sahaja yang dimasukkan ke hospital, iaitu kategori 4 dan 5. Kategori 1, 2 dan 3 diarah kuarantin di rumah yang tidak ada perawat atau oksigen.

"Kategori 3 yang sudah pun menunjukkan paru-paru terjangkit, apabila menjadi lebih teruk, tidak dapat apa-apa rawatan di rumah. Keluarga di rumah tidak dapat tolong kerana tidak boleh dekat dengan pesakit, doktor tidak dapat dipanggil, pesakit jadi lebih teruk, oksigen tidak ada di rumah dan akhirnya pesakit meninggal dunia.

"Saya percaya kumpulan kategori ketiga ini boleh diselamatkan, mereka tidak begitu ramai. Hospital sementara boleh diadakan, hospital ini hanya dibekal oksigen dan disediakan beberapa doktor dan jururawat," kata bekas Perdana Menteri itu.

Berita Harian X