Selasa, 31 Ogos 2021 | 11:28pm
 - Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19: 265 lagi kes varian Delta dikesan

KUALA LUMPUR: Malaysia mengesan tambahan 265 kes COVID-19 membabitkan varian membimbangkan (VOC) antara 16 hingga 29 Ogos lalu, dengan semuanya adalah varian Delta (B.1.617.2).

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, VOC itu dikesan hasil kajian berterusan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) Universiti Institut MARA (UiTM) Selangor, dan Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Daripada 265 varian Delta itu, katanya, sebanyak 39 kes dikesan oleh IMR, 48 kes oleh iPROMISE, dan IHCM pula mengenal pasti 178 kes dalam tempoh berkenaan.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 1,221 kes.

"Daripada jumlah yang dikesan itu, 1,201 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.

"Secara keseluruhan, bagi VOC terdapat 978 kes varian Delta, 209 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha, manakala bagi VOI terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta setakat ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Perincian mengenai kes VOC yang baharu itu menunjukkan 265 kes varian Delta dikesan di 12 negeri, dengan 67 peratus atau 178 kes dikesan di Sarawak.

Selain itu, 31 kes dikesan di Pulau Pinang, disusuli Pahang (19), Selangor (11), Negeri Sembilan (lapan), Sabah (lima), Perak (tiga), Johor (tiga), Kuala Lumpur (tiga), Melaka (dua), Kedah (satu) dan Perlis (satu).

Varian Delta sudah dikesan di seluruh negara dan Sarawak merekodkan kes varian Delta tertinggi di negara ini dengan 696 kes atau 71 peratus daripada 978 kes yang dikesan di Malaysia.

Ia diikuti Selangor (80), Pahang (38), Pulau Pinang (32), Kuala Lumpur (21), Johor (19), Negeri Sembilan (17), Kedah (14), Labuan (14), Melaka (10), Sabah (sembilan), Perak (tujuh), Terengganu (tujuh), Putrajaya (enam), Perlis (lima) dan Kelantan (tiga).

Varian Delta dilaporkan lebih pantas menular berbanding varian virus COVID-19 yang lain dan kebanyakan negara di seluruh dunia termasuk Malaysia, merekodkan peningkatan kes sejak beberapa bulan lalu akibat varian itu.

Berita Harian X