Isnin, 30 Ogos 2021 | 12:22pm
FOTO fail menunjukkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan makanan kepada pelajar IPT Zon Tengah yang pulang ke kampung halaman selepas terkandas di kampung akibat penularan COVID-19. - Foto FAIL NSTP
FOTO fail menunjukkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan makanan kepada pelajar IPT Zon Tengah yang pulang ke kampung halaman selepas terkandas di kampung akibat penularan COVID-19. - Foto FAIL NSTP

MPPK, GPMS percaya Noraini pilihan tepat terajui KPT

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), berpandangan pemilihan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad untuk kekal menerajui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) adalah tepat bagi meneruskan kesinambungan dasar diperkenalkan sebelum ini.

Presiden MPPK, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, berkata pihaknya percaya Noraini akan dapat memimpin KPT dengan lebih baik dan meneruskan dasar yang memberi manfaat kepada mahasiswa.

"Sepanjang pentadbiran beliau sebelum ini, pelbagai inisiatif diberikan KPT terutama bagi memastikan pelajar terus dibantu dalam menghadapi pandemik COVID-19. Antara inisiatif diperkenalkan ialah pengurangan yuran sejak tahun lalu dan diteruskan pada tahun ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, inisiatif lain seperti Pakej Bantuan Pelan Data dan Peranti Pelajar IPT, diskaun tiket penerbangan khas untuk mahasiswa dan Foodbank Siswa, manakala awal Ogos lalu, KPT bekerjasama dengan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) untuk vaksinasi warga pengajian tinggi bagi mewujudkan gelembung kampus.

"Inisiatif ini akan membolehkan suasana di kampus menjadi lebih selamat. Beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) juga dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan dijangka diperluaskan bagi memastikan negara mencapai imuniti kelompok.

"MPPK yakin dengan kepemimpinan Noraini yang sentiasa menunjukkan keprihatinan terhadap agenda mahasiswa. Kami peluang menyampaikan hasrat mahasiswa melalui 11 Agenda Memartabat Mahasiswa kepada KPT dan tujuh daripada agenda itu telah direalisasikan oleh KPT," katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Alif Anas Md Noor berkata, keputusan Perdana Menteri mengekalkan Noraini di KPT akan melancarkan proses penyusunan semula dan meneruskan agenda yang telah disusun untuk berdepan implikasi COVID-19.

Katanya, fokus utama KPT kini adalah mewujudkan gelembung selamat di IPT dengan mencapai tahap imunisasi kelompok secara maksimum melalui program vaksinasi mahasiswa agar universiti dapat dibuka semula dan mahasiswa boleh meneruskan pembelajaran secara bersemuka.

Mohd Alif Anas berkata, tuduhan kononnya Noraini gagal sebagai menteri KPT adalah tuduhan liar yang cuba mengkucar-kacirkan keadaan sedangkan sepanjang perkhidmatannya, menteri itu berjaya mewujudkan beberapa program berkesan untuk menjaga kebajikan mahasiswa.

Antaranya, subsidi data internet kepada mahasiswa, komputer riba percuma untuk pelajar B40, bantuan 'one-off' RM200 setiap mahasiswa dengan peruntukan RM168.3 juta dan pengurangan yuran asrama serta yuran perkhidmatan universiti awam sebanyak 15 peratus dengan peruntukan RM72 juta yang memanfaatkan 841,464 mahasiswa.

"KPT berjaya menjaga kebajikan mahasiswa sewaktu gelombang pertama dan kedua pandemik COVID-19 dengan memberi makanan dan keperluan asas percuma kepada mahasiswa terkandas di IPT sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan dengan memperuntukkan RM52.2 Juta.

"KPT juga berjaya mengatur proses penghantaran pulang mahasiswa ke kampung dengan kos tambahan RM17.4 juta membabitkan 57,565 pelajar seluruh negara," katanya menambah, Universiti Malaya juga mendapat manfaat apabila 1,562 mahasiswanya dihantar pulang ke kampung termasuk 386 dari Sabah dan Sarawak.

Berita Harian X