Ahad, 29 Ogos 2021 | 6:34pm
Perdana Menteri semalam mengarahkan semua program berkaitan vaksinasi dan strategi kesihatan berkaitan COVID-19 hanya akan dikendalikan KKM. - Foto fail NSTP
Perdana Menteri semalam mengarahkan semua program berkaitan vaksinasi dan strategi kesihatan berkaitan COVID-19 hanya akan dikendalikan KKM. - Foto fail NSTP

Peralihan peranan MOSTI, KKM perlu lancar

PUTRAJAYA: Tindakan lanjut berkaitan proses peralihan peranan antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan (KKM) seharusnya berjalan lancar demi kepentingan rakyat supaya sasaran untuk mencapai immuniti kelompok di Malaysia tidak terjejas.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam di Management and Science University, Profesor Datuk Dr Rohaizat Yon, berkata ia susulan saranan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini supaya Program Immunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dikendalikan oleh KKM.

"Pengalaman KKM menjalankan pelbagai program vaksinasi mungkin boleh dimanfaatkan," katanya kepada BH.

Dr Rohaizat yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) berkata, setiap negeri yang ketika ini berprestasi rendah dalam pemberian vaksin perlu menilai semula faktor yang boleh diperbaiki dan dimantapkan lagi.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah adakah kerana kadar rendah itu disebabkan kekangan bekalan vaksin atau ketersediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Beliau berkata, jika ada halangan kumpulan tertentu untuk hadir ke PPV, perlu ada program PPV ke rumah atau memerlukan pemberian vaksin hanya satu dos suntikan.

"Beberapa negeri menunjukkan prestasi kadar vaksinasi yang memberangsangkan serta wajar diberikan pujian.

"Strategi yang dilaksanakan di negeri berkenaan wajar menjadi ikutan bagi diteladani oleh negeri lain yang kadar vaksinasi masih rendah," katanya.

Semalam, BH melaporkan, Perdana Menteri sebagai berkata, semua program berkaitan vaksinasi dan strategi kesihatan berkaitan COVID-19 hanya akan dikendalikan KKM melalui Menterinya, Khairy Jamaluddin.

Datuk Seri Ismail Sabri dilaporkan berkata, MOSTI yang kini diterajui bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, akan memfokus kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan vaksin wabak berkenaan.

Berita Harian X