Sabtu, 21 Ogos 2021 | 10:51am

Tanah jerlus, lumpur tebal sukarkan cari 2 mangsa hilang

YAN: Pasukan penyelamat menghadapi kesukaran dan cabaran dalam misi pencarian dua mangsa yang masih hilang dalam kejadian banjir susulan fenomena kepala air di Titi Hayun dan Salak Denai, di sini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon, berkata masalah yang dihadapi pasukan penyelamat adalah kerana kejadian itu membabitkan arus air sangat besar yang membawa bongkah batu serta menghanyutkan kayu balak besar.

PENGARAH Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli
PENGARAH Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Beliau berkata, batu dan kayu balak besar turut tersangkut di beberapa tempat dan menyukarkan usaha pencarian mangsa.

"Kami juga menghadapi kesukaran untuk masuk ke tempat pencarian kerana jarak yang agak luas dan lumpur agak tebal, malah pada masa sama, ada beberapa tempat di kawasan itu tidak stabil lagi.

"Ada juga berlaku tanah jerlus di kawasan itu, malah bongkah batu yang ditemui juga agak besar dan sukar diangkat menggunakan tenaga manusia," katanya.

Sayani berkata, sekiranya anggota penyelamat dapat mengesan objek, mereka akan menandakan kawasan itu dan menggunakan khidmat dari luar, termasuk jengkaut untuk mengalih bongkahan batu.

Hujan lebat pada waktu petang, katanya, tambah menyukarkan usaha pencarian disebabkan paras air sungai makin meningkat.

"Selain itu, kita turut menggunakan aset dan logistik yang ada termasuk helikopter Agusta AW189 milik JBPM, dron, dua anjing pengesan dan peralatan khas oleh pasukan STORM JBPM," katanya.

Beliau berkata, turut membantu adalah pasukan STORM dari negeri lain seperti 12 anggota dari Selangor, Perak (9), Putrajaya (3) dan Perlis (4) ,selain kerjasama agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang, Ridwan Poniman dan Ku Shuib Ku Abdullah masih diteruskan pada hari keempat hari ini.

Pasukan penyelamat melakukan misi pencarian di Titi Hayun semalam. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Pasukan penyelamat melakukan misi pencarian di Titi Hayun semalam. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Keadaan sungai yang di penuhi dengan kayu balak di Taman Rekreasi Titi Hayun selepas banjir kilat susulan kejadian kepala air di kaki Gunung Jerai di Titi Hayun Yan. - Foto BERNAMA

KETUA Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat (kanan) dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon melihat pemantauan dron PDRM di kawasan operasi pencarian dua mangsa masih hilang di sekitar Titi Hayun dan Salak Denai di Yan, Kedah, hari ini. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Berita Harian X