Jumaat, 20 Ogos 2021 | 4:42pm

23,564 kes positif baharu COVID-19 hari ini

PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan kes tertinggi untuk tiga hari berturut-turut apabila sebanyak 23,564 kes positif baharu COVID-19 dilaporkan setakat tengah hari ini.

Semalam, 22,948 kes direkodkan manakala kelmarin, 22,242 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga kini kes jangkitan COVID-19 negara sudah mencecah 1,513,024 kes.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) turut melaporkan sebanyak 21,448 kes sembuh daripada jangkitan COVID-19 hari ini, menjadikan seramai 1,241,894 pesakit sudah pulih sejak Januari tahun lalu manakala kes aktif kini 257,417 kes.

"Daripada 23,564 kes direkodkan hari ini, sebanyak 23,541 adalah jangkitan tempatan iaitu 19,714 warganegara dan 3,827 bukan warganegara manakala 23 lagi adalah kes import, membabitkan 12 warganegara dan 11 bukan warganegara.

"KKM juga melaporkan sebanyak 1,062 kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 518 pesakit memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 233 kes kematian baharu dilaporkan hari ini, membabitkan 199 warganegara dan 34 rakyat asing menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 sebanyak 13,713 kes atau 0.91 peratus daripada kes dilaporkan setakat ini.

Beliau berkata, daripada jumlah kematian itu, sebanyak 60 kes membabitkan kematian di luar hospital (BID) dengan 44 rakyat negara ini dan 16 bukan warganegara.

"Sebanyak 233 kes kematian pada hari ini membabitkan 101 kes di Selangor; 31 kes di Kuala Lumpur; 23 kes di Johor; 17 kes di Sabah; 16 kes di Perak; 15 kes di Pulau Pinang; 11 kes di Negeri Sembilan; sembilan kes di Kedah; empat kes di Terengganu; serta masing-masing tiga kes di Kelantan dan Pahang," katanya.

Sementara daripada 23,564 kes harian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 431 kes (1.8 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5 manakala sebanyak 23,133 kes (98.2 peratus) lagi adalah daripada kategori 1 dan 2.

Katanya, secara keseluruhan, 19,362 kes (82.2 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini, tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

KKM turut mengesan 38 kluster jangkitan baharu COVID-19 iaitu 22 membabitkan tempat kerja, 14 kluster komuniti dan dua kluster pendidikan.

Setakat ini, sebanyak 4,386 kluster jangkitan COVID-19 dikesan di negara ini, 2,964 kluster sudah ditamatkan dan 1,422 kluster masih aktif.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan data terkini pada 19 Ogos 2021, nilai kadar kebolehjangkitan (RT) Malaysia adalah sebanyak 1.04 manakala Perlis masih mencatatkan nilai RT yang iaitu nilai RT 1.31, diikuti oleh Sabah (nilai RT 1.22) dan Sarawak, 1.21.

Katanya, semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Kuala Lumpur (nilai RT 0.95); Putrajaya (nilai RT 0.89); Labuan (nilai RT 0) dan Negeri Sembilan, 0.94.

Berita Harian X