Jumaat, 20 Ogos 2021 | 11:59am
Bangunan Parlimen lambang demokrasi di Malaysia. - Foto fail NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Bangunan Parlimen lambang demokrasi di Malaysia. - Foto fail NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Sokongan tanpa syarat tiada dalam Perlembagaan

KUALA LUMPUR: Tiada perkataan kepercayaan majoriti tanpa syarat terhadap pelantikan seorang Perdana Menteri dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, sekali gus membuktikan sokongan Perikatan Nasional (PN) kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah sah.

Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Marzuki Mohamad, berkata syarat sokongan ditetapkan PN terhadap Naib Presiden UMNO itu bukannya perkara luar biasa khususnya membabitkan pelantikan anggota Kabinet terdiri daripada individu yang berintegriti, amanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah mahkamah.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebelum Jemaah Menteri dilantik, proses semakan akan dibuat untuk memastikan bakal Menteri tidak ada rekod jenayah, bebas rasuah atau sangkut bayaran cukai Lembaga Hasil Dalam Neger (LHDN) dan bukan seorang yang muflis di mana ia adalah selari dengan syarat PN.

"Saya tidak faham kenapa sesetengah pihak mengatakan sokongan PN kepada Ismail Sabri adalah tidak sah. Saya cari dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan perkataan kepercayaan majoriti tanpa syarat. Saya tak jumpa perkataan tanpa syarat sebaliknya yang saya jumpa hanyalah perkataan kepercayaan majoriti.

"Jadi, janganlah kita suka-suka tambah perkara yang tiada dalam Perlembagaan," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Semalam, Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan mengesahkan PN bersetuju menamakan Ahli Parlimen Bera sebagai calon Perdana Menteri yang baharu dengan syarat pelantikan Kabinet yang dibentuk kelak adalah dalam kalangan mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

Selain itu, kerajaan PN mesti terus menghormati prinsip pengasingan kuasa, kebebasan badan kehakiman dan Raja Berperlembagaan.

Pada masa sama, Marzuki berkata, pengasingan kuasa dan kebebasan badan kehakiman adalah sebahagian daripada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mesti dijunjung oleh mana-mana Perdana Menteri yang dilantik melalui sumpah jawatan itu.

Sebelum ini amalan sokongan bersyarat turut dilaksanakan ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara yang mana pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh turut dibuat dengan syarat.

Ketika itu syarat dibuat PH ialah Pengerusi Lembaga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail perlu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannya menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Satu dunia tahu syarat ini yang ditandatangan melalui perjanjian (on the dotted lines) oleh semua ketua parti PH sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

"Tun Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri atas syarat ini dan pelantikannya adalah sah," katanya.

Berita Harian X