Khamis, 19 Ogos 2021 | 12:50pm
Penduduk di Kampung Seri Perigi membersihkan kawasan rumah mereka yang dipenuhi lumpur selepas banjir kilat akibat kepala air yang melanda semalam. - NSTP/Zuliaty Zulkffli
Penduduk di Kampung Seri Perigi membersihkan kawasan rumah mereka yang dipenuhi lumpur selepas banjir kilat akibat kepala air yang melanda semalam. - NSTP/Zuliaty Zulkffli

Penduduk tidak sangka dilanda banjir lumpur

YAN: Penduduk di kawasan berhampiran Gunung Jerai tidak menyangka akan dilanda banjir kilat yang disertai lumpur teruk, berikutan kejadian kepala air yang berlaku, semalam.

Ismail Yusof, 42, berkata setiap tahun kawasan rumahnya di Kampung Seri Perigi, di sini dilanda banjir kilat tetapi paras air yang naik biasanya hanya paras 0.2 meter saja.

Katanya, biasanya air yang masuk ke dalam rumah air jernih tetapi semalam ia turut disertai lumpur tanah merah yang dipercayai dari atas gunung.

"Semalam hujan bermula sejak jam 12 tengahari sebelum lebat jam 3 petang.

"Saya dan keluarga sudah bersiap sedia mengangkat barangan dalam rumah kerana dah biasa alami banjir kilat setiap tahun tetapi semalam, air masuk dengan cepat sehingga lebih paras 0.5 meter," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Ismail berkata, pada mulanya dia mendengar deruan kuat dari arah Gunung Jerai yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya tetapi tidak menyangka ia kepala air.

Penduduk di Kampung Seri Perigi membersihkan kawasan rumah mereka yang dipenuhi lumpur selepas banjir kilat akibat kepala air yang melanda semalam. - NSTP/Zuliaty Zulkffli
Penduduk di Kampung Seri Perigi membersihkan kawasan rumah mereka yang dipenuhi lumpur selepas banjir kilat akibat kepala air yang melanda semalam. - NSTP/Zuliaty Zulkffli

Kesan kayu yang dibawa arus deras akibat kepala air di Titi Hayun. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Kesan kayu yang dibawa arus deras akibat kepala air di Titi Hayun. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Katanya, kejadian kepala air jarang berlaku di situ dan paling teruk yang dialami semalam.

"Air masuk dengan laju ke dalam rumah dan ia bagaikan 'tsunami kecil' namun saya bersyukur kerana kami sekeluarga selamat dalam kejadian ini," katanya.

Ismail berkata, hari ini mereka sekeluarga mencuci kawasan rumah yang penuh dengan lumpur dan berselut.

Katanya, namun mereka sekeluarga bersiap sedia sekiranya hujan lebat berlaku lagi kerana bimbang tragedi sama berulang.

"Saya tak sangka kejadian semalam menyebabkan tiga kematian di daerah ini kerana mereka penduduk di sini," katanya.

Sementara itu, tinjauan di kawasan yang terjejas akibat banjir kilat dan kepala air di kawasan berhampiran Gunung Jerai dan Titi Hayun di sini mendapati, kesan kayu yang dibawa arus deras semalam masih kelihatan.

Penduduk kampung berhampiran juga sedang membersihkan kawasan rumah masing-masing akibat kesan kepala air yang berlaku.

Berita Harian X