Rabu, 18 Ogos 2021 | 3:33pm
Warga emas Ho Hau Deng, dibantu sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Dewan Serbaguna Encore, Melaka. - Foto SYAFEEQ AHMAD
Warga emas Ho Hau Deng, dibantu sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Dewan Serbaguna Encore, Melaka. - Foto SYAFEEQ AHMAD

47.2 peratus rakyat Malaysia sudah lengkap vaksin

PUTRAJAYA: Sarawak, Negeri Sembilan, Perlis, Melaka, Wilayah Persekutuan Labuan dan Lembah Klang mencatatkan peratusan populasi dewasa mendapat vaksin lengkap melebihi 40 peratus, nilai ambang ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) setakat Isnin lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) dan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dalam satu kenyataan bersama hari ini, berkata selebihnya, lima negeri sudah mencapai kadar antara 30 hingga 39 peratus populasi dewasa yang menerima vaksin lengkap iaitu Pulau Pinang, Terengganu, Perak, Pahang dan Kedah dan hanya tiga negeri iaitu Kelantan, Johor dan Sabah yang berada dalam kategori antara 20 hingga 29 peratus.

Namun, katanya, mengambil kira penjadualan bekalan penghantaran vaksin pada bulan ini, semua negeri ini disasarkan akan mencapai nilai ambang itu pada hujung bulan ini.

Kenyataan itu juga memaklumkan, Program Imunisasi COVID-19 (PICK) yang diterajui oleh MOSTI kini berada di landasan tepat dalam usaha negara untuk mencapai perlindungan yang dikehendaki pada Oktober ini.

"Sehingga Isnin lalu, peratusan populasi dewasa di negara ini yang lengkap divaksinasi mencapai 47.2 peratus sementara lebih 73 peratus menerima sekurang-kurangnya suntikan dos pertama.

"Lebih 28 juta dos suntikan sudah diberikan di Malaysia. Momentum kadar pemberian vaksinasi negara juga terus kekal konsisten dengan semalam terus melepasi 500,000 suntikan iaitu sebanyak 501,776 dos yang diberikan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 325,902 suntikan adalah untuk dos kedua, manakala 175,874 suntikan adalah untuk dos pertama," katanya.

Sementara itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang diterajui secara bersama oleh kedua-dua kementerian itu juga memaklumkan semua pelaksanaan usaha pengawalan pandemik dan vaksinasi negara diteruskan dengan lancar seperti yang dirancang.

Katanya, KKM terus melaksanakan langkah strategik yang dirancang bagi mengoptimumkan perkhidmatan penjagaan dan rawatan kesihatan awam di seluruh negara ketika berhadapan pandemik COVID-19 ini.

Kenyataan itu menyebut, Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKVSTF) pula meneruskan fokus kepada usaha logistik, Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Pemantauan Kendiri di Rumah dan memastikan Sistem Sokongan Sosial bagi petugas barisan hadapan di Lembah Klang terus berfungsi dengan baik.

"KKM sudah melaksanakan perolehan pelbagai jenis vaksin COVID-19 antaranya Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac serta Cansino. Sehingga 16 Ogos, sejumlah 33,879,979 dos sudah dibekalkan untuk tujuan vaksinasi.

"Dalam hal ini, perolehan dan sumbangan vaksin COVID-19 ini dapat membantu kerajaan mencapai sasaran imuniti kelompok dalam kalangan penduduk Malaysia.

"Daripada 19,740 kes baharu yang dilaporkan pada Isnin lalu, hanya 1.5 peratus kes berada pada kategori tiga hingga lima iaitu mereka yang memerlukan rawatan rapi kerana jangkitan paru-paru, memerlukan oksigen dan ventilator manakala majoriti kes harian iaitu 85.13 peratus adalah kes kategori satu dan dua yang tiada gejala dan bergejala ringan.

Selain itu, kes harian COVID-19 mencatatkan penurunan di Sarawak dan Labuan kesan daripada liputan imunisasi yang tinggi dengan 81.5 peratus penduduk dewasa di Sarawak sudah menerima dos lengkap vaksin manakala di Labuan, 89.3 peratus penduduk dewasa sudah lengkap vaksin.

"Impaknya, kes harian di Labuan mencatat sifar kes pada 14 Ogos dan hanya lima kes harian pada dua hari lalu.

"Selepas pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti Lembah Klang, terdapat penurunan kes kemasukan hospital dan penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU). Di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang jumlah kemasukan harian pesakit menurun 50 peratus sejak seminggu lalu," katanya.

JKJAV berkata, situasi yang sama berlaku di Pahang, apabila bilangan pesakit kategori tiga, empat dan lima mulai menurun.

Justeru, KKM akan terus melaksanakan pengurusan bersepadu COVID-19 di wilayah lain di seluruh negara bagi mengoptimumkan sumber mengikut konsep pengklusteran seperti yang dilaksanakan di Lembah Klang.

Berita Harian X