Rabu, 18 Ogos 2021 | 12:06pm
Mohd Firdaus bersama anak, Nur Qaseh Jannah, 5, dan Herni Yusnilah. - Foto Facebook Mohd Firdaus
Mohd Firdaus bersama anak, Nur Qaseh Jannah, 5, dan Herni Yusnilah. - Foto Facebook Mohd Firdaus

Reda pemergian isteri, anak dalam kandungan akibat COVID-19

MELAKA: "Permintaan terakhir, isteri minta menemaninya di hospital dan katanya kalau tidak boleh masuk pun cukuplah saya berada di luar dan dia dapat melihat.

"Tiga hari terakhir ini memang memberi kesan kerana arwah isteri minta perkara yang saya tidak boleh tunaikan walaupun beberapa kali saya cuba terangkan kepadanya," luah Mohd Firdaus Haron, 36, yang kehilangan isteri tercinta, Herni Yusnilah Yusof akibat COVID-19.

Herni Yusnilah, 29, yang mengandung enam bulan disahkan meninggal dunia malam kelmarin selepas 13 hari dirawat di Hospital Melaka di sini.

Mohd Firdaus berkata, dia tidak menjangka isterinya yang mengandungkan anak kedua mereka akan pergi meninggalkannya selepas sedar daripada ditidurkan.

"Kali pertama isteri ditidurkan kira-kira tujuh hari lalu selepas kesihatannya semakin merosot, namun dia menunjukkan perkembangan positif dan kembali sedar walaupun masih bergantung kepada alat bantuan oksigen.

"Bagaimanapun, kesihatannya kembali merosot dan perlu ditidurkan semula Isnin lalu, sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.40 malam," katanya ketika dihubungi.

Katanya, dia dan isteri amat menantikan kehadiran anak kedua mereka namun Allah SWT lebih menyayangi mereka.

"Sebelum ini arwah isteri kerap bertanya kepada saya sama ada boleh menjaga anak perempuan berusia lima tahun dan ibunya jika dia ditakdirkan 'pergi' dulu.

"Dia selalu bertanya kalau saya boleh jaga anak dan ibunya seperti dia lakukan. Dia sangat rapat dengan ibunya memandangkan satu-satunya anak perempuan.

"Sebelum ini, kebanyakan keputusan dalam keluarga dia yang akan putuskan, malah disifatkan sebagai 'ahli fikir' untuk kami semua walaupun dia anak bongsu," katanya yang mengusahakan gerai Warong Kopi Manggis Road.

Mohd Firdaus berkata, dia kini bukan saja kehilangan 'ahli fikir', malah 'patah kaki' untuk menguruskan perniagaannya itu.

"Apa yang terhasil di kedai kami adalah hasil apa yang difikirkannya (isteri). Rupanya dia lakukan (usaha) untuk tinggalkan buat anak kami dan ibunya.

"Sepatutnya kami potong gelang bersama kelmarin, namun takdir dia pergi dulu. Alhamdulillah, ibu mentua yang sebelum ini turut disahkan positif COVID-19 juga sudah sembuh," katanya.

Berita Harian X