Sabtu, 14 Ogos 2021 | 3:36pm
Gambar hiasan - NSTP/ROHANIS SHUKRI
Gambar hiasan - NSTP/ROHANIS SHUKRI

Latihan kepakaran ditangguh, tumpu kendali pandemik

KUALA LUMPUR: Latihan kepakaran selama tiga bulan membabitkan semua bidang perubatan, ditangguhkan bertujuan memberi laluan sepenuhnya untuk sistem kesihatan negara mengendalikan pandemik COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penangguhan itu dimuktamadkan, baru-baru ini, selepas mengambil kira aspek kekurangan sumber manusia susulan lonjakan kes COVID-19.

Beliau berkata, ia turut mempertimbangkan faktor kelesuan dialami petugas barisan hadapan kerana terpaksa berkhidmat tanpa henti selama 18 bulan berturut-turut susulan penularan wabak itu.

"Kita kini berada dalam situasi perang menentang virus dan kekurangan sumber manusia, bukan seperti keadaan normal yang membolehkan mereka meneruskan pengajian.

"Banyak hospital baharu dibuka untuk merawat pesakit COVID-19 dan kita perlu memobilisasi sumber manusia daripada Kementerian Kesihatan.

"Kita perlu memobilisasi doktor pelatih, jururawat 'post basic' dan pakar (untuk merawat pesakit COVID-19)," katanya pada Persidangan Penjagaan Kesihatan 2021 yang diadakan secara maya, hari ini.

Berita Harian X