Jumaat, 13 Ogos 2021 | 2:10pm

Segera lantik Naib Canselor UiTM

KUALA LUMPUR: Pelantikan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang tertangguh sejak Februari lalu boleh mengganggu segala perancangan dan strategi memartabatkan institusi itu.

Pengerusi UiTM, Prof Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah, menyifatkan penangguhan pelantikan itu terlalu lama dan menyukarkan pengurusan pentadbiran universiti.

"Saya sebagai orang bawah, sebagai Pengerusi UiTM, saya akur sesiapa yang dilantik, saya neutral. Sesiapa yang dilantik saya terima tetapi dengan syarat, individu itu mesti orang dalam UiTM.

"Terlalu lama sangat, terlampau lama, saya sebagai Pengerusi pun, saya susah hati sebab ramai datang kepada saya.

"Ada perkara boleh dibuat dan ada yang tidak boleh sebab itu di bawah bidang kuasa pengerusi (universiti). Ketiadaan Naib Canselor ini menyebabkan susah kita 'bergerak'," katanya kepada BH, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, pelantikan Prof Dr Roziah Mohd Janor sebagai Naib Canselor yang baharu ditangguhkan susulan tular gambar surat pelantikan dan penangguhan beliau ke jawatan tertinggi universiti itu.

Surat pelantikan yang tular mengenai pelantikan Roziah sebagai Naib Canselor ditandatangani bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad bertarikh 2 Ogos lalu manakala satu lagi surat ditandatangani Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Husaini Omar menyatakan penangguhan lantikan.

Roziah kini adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM, memangku jawatan nombor satu institusi itu sejak Naib Canselor sebelum ini, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim tamat tempoh perkhidmatannya pada 10 Mac lalu.

Mengulas mengenai prosedur pelantikan Naib Canselor, Ibrahim yang juga bekas Naib Canselor UiTM berkata, pemilihan dibuat menerusi proses ketat oleh Jawatankuasa Khas Temuduga Kenaikan Pangkat Naib Canselor UiTM.

Jelasnya, jawatankuasa terbabit dianggotai individu berpengalaman dan berprofil tinggi yang profesional untuk memilih calon berdasarkan merit.

"Saya sendiri berada dalam jawatankuasa terbabit dan ketika proses pemilihan dibuat, ada 17 nama dalam senarai awal namun tiga nama disenarai pendek dihantar kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk dipertimbangkan.

"Maka, kita menyerahkan kepada kerajaan untuk mempertimbangkan calon dikemukakan dan saya meminta supaya pelantikan ini disegerakan, mengikut merit," katanya.

Berita Harian X