Jumaat, 13 Ogos 2021 | 10:20am

KerjayaGig buka peluang jana pendapatan

LANDSKAP pekerjaan dalam sektor ekonomi gig bukanlah sesuatu yang baharu di negara ini.

Bahkan sebelum pandemik COVID-19 lagi, trend ini sudah berkembang di mana perkhidmatan gig mendapat permintaan tinggi, khususnya daripada masyarakat yang tinggal di kawasan bandar.

Di Malaysia, antara platform penyedia perkhidmatan popular yang menawarkan kemudahan berasaskan ekonomi gig ini adalah Grab, Foodpanda, Lalamove, BungkusIt, Lazada, Shopee dan banyak lagi.

Selain menawarkan perkhidmatan kepada pengguna, platform gig ini turut menyediakan peluang kerjaya secara sepenuh masa atau sambilan.

Bukan sahaja boleh menjana pendapatan bagi kelangsungan hidup, malah kerjaya ini juga memberi peluang untuk menambah pendapatan.

Antara faktor utama yang menarik minat kepada pekerjaan gig, terutamanya kepada generasi muda adalah kerana kebebasan dimiliki serta tidak terikat dengan peraturan di pejabat.

Rata-ratanya, mereka cenderung membabitkan diri dalam sektor ini kerana waktu kerja yang fleksibel tanpa perlu mengikut rutin pejabat

Pekerjaan dalam sektor ini juga menjanjikan pendapatan berpatutan malah bagi sesetengah individu mungkin lebih baik, berbanding sesetengah pekerjaan dalam sektor formal.

Bantu pemulihan ekonomi

Pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak awal tahun lepas telah mengakibatkan banyak sektor ekonomi terjejas dan ada syarikat yang terpaksa gulung tikar.

Namun, senario ini berbeza dan tidak berlaku dalam sektor ekonomi gig.

Di sebalik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan yang mengehadkan pergerakan orang ramai keluar dari rumah dan penutupan sementara operasi perniagaan, trend permintaan terhadap perkhidmatan ditawarkan platform gig ini mencatatkan peningkatan sangat memberangsangkan.

Peningkatan drastik ini telah menyumbang kepada kewujudan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor ini.

Pada masa sama, ramai majikan yang terjejas mula mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam penambahan sumber manusia atau menggajikan pekerja baharu.

Ini sekali gus menjejaskan peluang pekerjaan di sektor formal dan membuatkan ramai pencari kerja beralih ke sektor ekonomi gig.

Kepesatan pembangunan teknologi digital, kadar penembusan jalur lebar yang tinggi terutama di kawasan bandar dan pemilikan telefon pintar di Malaysia juga telah membuka ruang luas kepada lebih ramai individu untuk membabitkan diri dalam pekerjaan berorientasikan ekonomi gig.

Menurut Laporan Tinjauan Makroekonomi Belanjawan 2021 – Kementerian Kewangan, ekonomi digital di negara ini berkembang sebanyak 18.5 peratus setiap tahun dari tahun 2015 hingga 2019.

Sehingga Ogos 2020, terdapat kira-kira 540,000 pekerja gig aktif dan 140 platform penyedia perkhidmatan gig di Malaysia.

Daripada jumlah itu, dianggarkan 190,000 pekerja adalah penunggang dan pemandu dari pelbagai jenis platform termasuklah logistik dan penghantaran barangan dan makanan.
Berdasarkan trend itu, ekonomi gig dijangka akan terus berkembang dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Program KerjayaGig PERKESO

Seiring dengan usaha mengaktifkan pasaran buruh negara khususnya dalam sektor pekerjaan gig, kerajaan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah memperkenalkan Program KerjayaGig dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) pada 19 Mac 2021.

Program KerjayaGig ini adalah sebahagian daripada insentif pengambilan pekerja dalam PenjanaKerjaya 2.0 yang merangkumi pekerjaan jangka pendek dan pekerjaan gig.

Sebanyak RM170 juta telah disalurkan kepada lebih 10,600 majikan dan 75,800 pekerja menerusi pelaksanaan program ini.

Bagi menambah baik dan meneruskan penyaluran bantuan kewangan kepada sektor ekonomi gig, kerajaan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan pada 28 Jun 2021, telah memperluaskan skop insentif KerjayaGig.

Insentif ini terbuka kepada graduan menganggur dan penganggur tegar di bawah PenjanaKerjaya 3.0.

Perluasan insentif ini mengambil kira peningkatan permintaan terhadap pekerja dalam sektor informal termasuk platform gig serta membolehkan individu yang diberhentikan kerja, diarah bercuti tanpa gaji dan golongan rentan mendapat manfaat.

Ini termasuk kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menjana sumber pendapatan menerusi pekerjaan jangka pendek atau melalui platform gig sebelum mendapat pekerjaan tetap atau sepenuh masa.

Sebelum PEMULIH, program ini hanya terbuka kepada pekerja sektor formal yang berdaftar dengan PERKESO, yang diberikan notis cuti tanpa gaji atau yang diberhentikan kerja.

Namun kini, skop Program KerjayaGig diperluaskan dengan memberi peluang pekerjaan kepada golongan penganggur tegar iaitu mereka yang menganggur melebihi tempoh enam bulan.

Di bawah program ini, insentif RM600 disediakan kepada individu yang bekerja sendiri atau gig selama enam bulan.

Di samping itu, majikan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan ini pula akan menerima insentif sebanyak RM200 secara "one-off" bagi setiap pekerja.

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata PERKESO melihat kepentingan penyediaan peluang pekerjaan ekonomi gig sebagai satu segmen baharu dalam pasaran pekerjaan.

"Dalam kepesatan pembangunan dunia digital hari ini, shared economy kini menjadi platform alternatif bagi individu sebagai sumber mata pencarian, manakala ia menjadi batu loncatan bagi pencari kerja mengasah kemahiran dan pengalaman sementara mendapat tawaran pekerjaan sepenuh masa," katanya.

Pekerjaan ekonomi gig tidak hanya terhad kepada menjadi rider, namun turut terbuka kepada pekerjaan bebas atau freelancer yang menyediakan perkhidmatan profesional kepada majikan, misalnya dalam sektor Teknologi Maklumat (IT), penjagaan kesihatan, perkhidmatan dalam sektor kewangan dan sebagainya yang berasaskan atas permintaan pekerjaan (on-demand jobs).

Berbekalkan kemahiran dan pengalaman yang dibina dalam jangka masa pendek dari sektor ini, individu berpeluang untuk meningkatkan kebolehpasaran bagi memperoleh pekerjaan sepenuh masa atau meneroka peluang keusahawanan.

Dalam senario di mana pekerja formal diberi notis cuti tanpa gaji namun masih terikat dengan majikan, inisiatif ini juga dapat memindahkan tenaga kerja yang tidak digunakan sepenuhnya atau underutilised secara sementara kepada sektor ekonomi yang boleh menjana pendapatan.

"PERKESO berharap insentif yang disediakan menerusi KerjayaGig dapat menggalakkan lebih banyak penyedia perkhidmatan gig untuk tampil ke hadapan, membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada orang ramai.

"PERKESO menyeru mereka agar segera berdaftar dengan Program KerjayaGig bagi meningkatkan lagi usaha penyediaan peluang pekerjaan dari sektor ini," kata Dr Mohammed Azman.

Orang ramai atau pencari kerja yang menyertai Program KerjayaGig akan dilindungi di bawah Skim Bencana Pekerjaan PERKESO.

Majikan yang ingin mendaftar sebagai penyedia perkhidmatan gig atau operator perlu membuat pendaftaran dan mengiklankan jawatan kosong mereka di portal MYFutureJobs menerusi pautan www.myfuturejobs.gov.my.

Sementara itu, individu yang mencari pekerjaan di bawah Program KerjayaGig boleh mendaftar profil mereka di portal MYFutureJobs juga.

Bagi individu yang telah berjaya diterima bekerja, mereka perlu mengemas kini profil di portal PenjanaKerjaya https://penjanakerjaya.perkeso.gov.my bagi mendapatkan bayaran KerjayaGig untuk bulan pertama.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi Careline PERKESO di 1300-22-8000 atau 03-8091 5300, atau emelkan pertanyaan ke kerjayagig@perkeso.gov.my.

Maklumat lanjut berhubung inisiatif Program KerjayaGig boleh diperolehi melalui Soalan-soalan lazim (FAQ) di laman web rasmi PERKESO di www.perkeso.gov.my.

Berita Harian X