Jumaat, 6 Ogos 2021 | 4:00pm

Jangkitan COVID-19 catat paras tertinggi baharu

PUTRAJAYA: Jangkitan COVID-19 terus meningkat dengan mencecah paras tertinggi baharu apabila sebanyak 20,889 kes baharu dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes positif baharu yang dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kini meningkat kepada 1,224,595 sejak tiga kes pertama COVID-19 dikesan di negara ini pada 25 Januari 2020.

Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 8,792 kes, disusuli Kuala Lumpur dengan 2,483 kes. Tiga negeri lain turut menyumbang kes empat angka iaitu Kedah dengan 1,371 kes, Sabah (1,291) dan Johor dengan 1,275 kes.

Selain itu Negeri Sembilan melaporkan sebanyak 986 kes diikuti Kelantan (938); Pulau Pinang (776); Sarawak (652); Perak (624); Pahang (610); Melaka (491); Terengganu (460); Putrajaya (122) dan masing-masing sembilan kes di Labuan serta Perlis.

Pada masa sama, beliau berkata, KKM turut merekodkan kes sembuh tertinggi semalam iaitu 16,394 kes menjadikan jumlah kes keseluruhan yang sudah pulih sebanyak 993,020 kes.

Dr Noor Hisham berkata, 13 daripada kes yang dilaporkan adalah kes import membabitkan lapan warganegara dan lima bukan warganegara manakala 20,876 kes penularan tempatan membabitkan 17,477 warganegara (83.7 peratus) dan 3,399 bukan warganegara (16.3 peratus).

Ketika ini sebanyak 221,396 adalah kes aktif termasuk sebanyak 1,096 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan seramai 545 individu memerlukan bantaun pernafasan.

"Daripada 20,889 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 273 kes (1.3 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5 manakala sebanyak 20,616 kes (98.7 peratus) lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2.

"Secara keseluruhan, hanya 4,292 kes (20.5 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan mempunyai sejarah imunisasi COVID-19 iaitu 12 individu dalam kategori 5; 21 individu dalam Kategori 4; Kategori 3 (56); Kategori 2 (3,240) dan Kategori 1 (963).

"Sebanyak 160 kes kematian dilaporkan membabitkan 51 kes di Selangor; 32 kes di Johor; 22 kes di Kedah; 17 kes di Kuala Lumpur; 14 kes di Negeri Sembilan; enam kes di Pahang; lima kes di Sabah; masing-masing empat kes di Melaka dan Terengganu; tiga kes di Perak; serta dua kes di Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan kepada data terkini kelmarin, nilai kadar kebolehjangkitan (RT) Malaysia sebanyak 1.08 dan negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Kelantan (nilai RT 1.29) diikuti oleh Perak (nilai RT 1.23), dan Pulau Pinang (nilai RT 1.21).

"Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Negeri Sembilan, Perlis, dan Labuan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, peningkatan kes harian sejak beberapa minggu ini menunjukkan jangkitan virus COVID-19 sudah menular dalam komuniti.

Jumlah kluster sudah meningkat daripada 286 dalam tempoh antara 23 Jun 2021 hingga 6 Julai 2021, kepada 347 kluster dalam tempoh antara 7 Julai 2021 hingga 20 Julai 2021. Peningkatan seterusnya dilihat dalam tempoh antara 21 Julai 2021 hingga 1 Ogos 2021 membabitkan 401 kluster.

Dalam tempoh sama, Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati bilangan kluster tempat kerja juga meningkat daripada 180 kluster kepada 204 dan terkini adalah 213 kluster, manakala bilangan kluster komuniti juga meningkat daripada 86 kluster kepada 91 kluster, dan terkini 142 kluster bagi tempoh sama.

"Peningkatan ini adalah susulan dari saringan kontak rapat yang meluas. Selain itu, tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat menyebabkan ramai yang menjalankan ujian kendiri atau pengesanan COVID-19 apabila bergejala atau mengetahui mereka adalah kontak rapat.

"Didapati bahawa kira-kira 70 peratus ujian RTK-Antigen dijalankan oleh agensi swasta," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, peningkatan kes juga dipercayai disumbang oleh penularan varian Delta dengan sebanyak 199 kes varian itu dikesan dalam komuniti.

Beliau berkata, varian Delta ini menyebabkan kadar jangkitan virus yang lebih cepat, agresif, dan kurang menunjukkan respon terhadap rawatan yang diberikan.

Berikutan itu, beliau berkata, KKM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa patuh dan kekal mengamalkan langkah-langkah pencegahan, mematuhi Prosedur Operasi standard (SOP) dan mendapatkan vaksinasi COVID-19.

"Dijangkakan kes akan mula menurun pada akhir Ogos apabila lebih daripada 40 peratus populasi di Malaysia mendapat dos lengkap vaksin," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, pelaporan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia seiring dengan peningkatan kes secara global.

Beliau berkata, ketika ini, kadar insiden tertinggi purata kes tujuh hari antara 31 Julai hingga sehingga 6 Ogos bagi setiap 100,000 penduduk di Kuala Lumpur adalah 105.7; Selangor (101.5); Putrajaya (75.6); Negeri Sembilan (71.7); Melaka (53.8) dan Kedah (51.8).

Berita Harian X