Sabtu, 31 Julai 2021 | 7:11pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA

Malaysia rekod kes harian tertinggi 17,786 kes

PUTRAJAYA: Malaysia sekali lagi mencatatkan kes harian COVID-19 tertinggi apabila 17,786 kes dilaporkan setakat tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peningkatan jumlah kes itu menjadikan negara kini merekodkan sejumlah 1,113,272 kes positif virus berkenaan sejak Januari tahun lalu.

Beliau berkata, Selangor hari ini mencatatkan 6,400 kes positif baharu diikuti Kuala Lumpur 1,962 kes.

Katanya, turut mencatatkan kes empat angka ialah Kedah sebanyak 1,389 kes, Johor (1,144) dan Sabah (1,035).

"Labuan mencatatkan kes terendah iaitu sembilan kes, manakala Perlis merekodkan 16 kes hari ini.

"Sebanyak 17,777 kes membabitkan penularan tempatan iaitu 15,151 warganegara (85.2 peratus) dan 2,626 bukan warganegara (14.8 peratus), manakala enam kes import membabitkan rakyat tempatan dan empat warga asing.

"Ketika ini kes aktif adalah sebanyak 189,609 kes dan seramai 11,718 pesakit dijangkiti COVID-19 sudah sembuh sepenuhnya hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 914,639 atau 82.2 peratus.

"Kementerian Kesihatan (KKM) juga merekodkan 1,062 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 534 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM turut melaporkan 165 kes kematian akibat COVID-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 9,024 kes atau 0.81 peratus.

"Ia membabitkan 155 warganegara dan 10 bukan warganegara. Selain itu, sebanyak 28 kluster jangkitan dikesan hari ini menjadikan jumlah kluster kini sebanyak 3,679 dengan 2,573 kluster sudah tamat dan 1,106 kluster masih aktif.

"Daripada 17,786 kes harian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 260 kes (1.5 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala 17,526 kes (98.5 peratus) lagi kategori satu dan dua.

"Daripada 165 kes kematian hari ini, sejumlah 52 kes di Selangor, Johor (30), Negeri Sembilan (23), Kedah (18), masing-masing sembilan kes di Sabah dan Kuala Lumpur, Pulau Pinang (tujuh), Melaka (empat), masing-masing tiga kes di Perak, Terengganu dan Sarawak, Pahang (dua) serta masing-masing satu kes di Kelantan dan Perlis," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan data terkini pada semalam nilai kadar kebolehjangkitan (RT) Malaysia adalah 1.12, manakala Terengganu dan Kelantan mencatatkan nilai tertinggi iaitu RT 1.29 diikuti oleh Sabah (1.25).

Kebanyakan negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Negeri Sembilan, Labuan dan Perlis.

Berita Harian X