Khamis, 29 Julai 2021 | 1:01pm

Kerajaan belanja RM5.5b dalam KWC

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM5.5 bilion sudah dibelanjakan melalui Kumpulan Wang COVID-19 (KWC) sehingga 30 Jun lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM38 bilion dibelanjakan tahun lalu.

Katanya, peruntukan KWC dibiayai pinjaman kerajaan dan digunakan untuk perbelanjaan pakej bantuan serta perbelanjaan tambahan bagi menambah baik sektor kesihatan awam, termasuk pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

"Peruntukan dalam KWC turut digunakan bagi membiayai program kebajikan rakyat seperti subsidi upah, Geran Khas Prihatin (GKP), Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan penerangan Pakej Bantuan Kerajaan pada Sidang Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, sehingga akhir Jun lalu, paras hutang statutori sudah mencecah 56.8 peratus, namun ia masih di bawah had statutori 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dibenarkan.

Dengan ruang fiskal terhad, katanya, kerajaan tiada pilihan selain mengoptimumkan sumber pembiayaan sedia ada melalui rasionalisasi perbelanjaan, peningkatan hasil

daripada ekosistem termasuk penggunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) serta bersedia meningkatkan had siling KWC.

Dalam masa sama, Tengku Zafrul menegaskan, kerajaan sedia melonggarkan peraturan had hutang untuk menyokong pelan pemulihan ekonomi berdasarkan kemampuan keberhutangan negara.

Oleh itu, katanya kerajaan akan mengusulkan di dalam Dewan Rakyat cadangan pindaan itu pada penggal akan datang.

Golongan peniaga kecil antara yang mendapat faedah pelbagai bantuan kerajaan dalam mengurangkan kesan pandemik. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Golongan peniaga kecil antara yang mendapat faedah pelbagai bantuan kerajaan dalam mengurangkan kesan pandemik. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Berita Harian X