Rabu, 28 Julai 2021 | 3:21pm

Malaysia rekod kes harian tertinggi 17,405 kes

PUTRAJAYA: Kes harian positif COVID-19 sekali lagi mencatatkan angka tertinggi apabila sebanyak 17,405 kes dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, yang berkongsi ringkasan laporan di media sosial, berkata sehingga kini jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 sudah mencecah 1,061,476 kes.

Beliau berkata, kes pesakit COVID-19 sembuh dicatatkan hari ini juga tertinggi iaitu 12,373 kes, dengan jumlah kes keseluruhan yang sembuh daripada jangkitan wabak itu kini mencecah 877,812.

Katanya, sebanyak 17,399 kes membabitkan penularan tempatan manakala enam lagi adalah kes import. Hari ini Selangor merekodkan sebanyak 7,171 baharu, diikuti Kuala Lumpur dengan 2,880 kes dan Kedah (1,112); Sabah (913); Negeri Sembilan (863); Johor (767); Pulau Pinang (760); Kelantan (532) dan Melaka (531).

"KKM juga merekodkan sebanyak 143 kematian berkaitan jangkitan COVID-19, iaitu 123 warga negara dan 20 warga asing, menjadikan jumlah kematian kini sebanyak 8,551 kes.

"Selain itu, sebanyak 1,016 kes ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 529 memerlukan bantuan alat pernafasan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, daripada 143 kes kematian hari ini, ia membabitkan 41 kes di Selangor, Negeri Sembilan (21) , Johor (17), Kuala Lumpur (14), Perak (11), Kedah (10), Sabah (sembilan), Melaka (tujuh), masing-masing lima kes di Pulau Pinang dan Kelantan, serta tiga kes di Pahang.

"Sebanyak 41 kluster jangkitan juga dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kluster wabak COVID-19 negara adalah 3,568 setakat ini, dengan 2,518 kluster sudah ditamatkan dan 1,050 kluster masih aktif," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, daripada 17,405 kes harian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 374 kes (2.1 peratus) adalah daripada kategori tiga, empat dan lima manakala, sebanyak 17,031 kes (97.9 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.

Beliau berkata, secara keseluruhan, hanya 2,032 kes (11.7 peratus) daripada jumlah kes pada hari ini mempunyai sejarah vaksinasi COVID- 19 iaitu masing-masing lima pesakit kategori lima dan sembilan dari kategori 4 sudah divaksinasi selain 35 pesakit dalam kategori tiga juga sudah menerima pelalian.

Seramai 1,489 pesakit kategori dua dan 494 pesakit kategori satu juga sudah menerima vaksinasi masing-masing.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, melalui kajian berterusan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), pihaknya mengenalpasti sebanyak 10 kes varian Delta (B.1.617.2) antara 22 Julai lalu hingga hari ini.

Beliau berkata, penemuan itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai varian membimbangkan (VOC) dan varian berkepentingan (VOI) adalah sebanyak 439 kes.

"Daripada jumlah yang dikesan itu, 419 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.

"Secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 206 kes varian Beta, 199 kes varian Delta dan 14 kes varian Alpha manakala bagi VOI terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa, dan tiga kes varian Eta," katanya.

Berita Harian X