Rabu, 28 Julai 2021 | 2:13pm
 Foto AFP
Foto AFP

MMI tuntut penambahbaikan 'housemanship'

KUALA LUMPUR: Malaysia Medics International (MMI) mengemukakan enam tuntutan kepada pihak berkaitan bagi memastikan penambahbaikan terhadap kaedah 'housemanship' dan melindungi kebajikan pegawai perubatan di negara ini.

MMI dalam kenyataan hari ini berkata, disebabkan pandemik COVID-19, enam siri pengambilan tahunan bagi 'housemanship' tidak dapat dilaksanakan.

"Kami menggesa pengambilan ini dilaksanakan semula secepat mungkin bagi menampung peningkatan lulusan perubatan yang menunggu untuk menjalani latihan berkenaan.

"Pertama, kami turut menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Bahagian Sumber Manusia (BSM) dan Bahagian Pengurusan Latihan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mewujudkan struktur pengambilan 'housemanship' yang tetap.

"Ini termasuk mengembalikan enam pengambilan tahunan secara dwi bulanan pasca COVID-19 bagi menjamin penempatan graduan perubatan di pasaran," katanya.

MMI turut mencadangkan pihak berkaitan mendedahkan tarikh pengambilan dan menyediakan panduan komprehensif berkaitan proses pendaftaran dan anggaran garis masa di laman web sistem e-housemen.

MMI turut berharap isu mengenai kualiti latihan housemanship turut ditangani memandangkan terdapat beberapa isu berbangkit antaranya jumlah doktor senior di hospital kerajaan yang tidak mencukupi, sehingga mereka memikul beban kerja yang amat tinggi.

"Kami memohon supaya KKM, Akademi Perubatan Malaysia (AMM) dan Kementerian Kewangan mengkaji semula peruntukan kewangan bagi sektor kesihatan awam.

"Selain itu, bagi mewujudkan budaya kerja yang sihat, universiti perubatan perlu memulakan program mentor mentee bagi melengkapkan pendidikan perubatan dan memperkasa inisiatif yang dilakukan oleh pelajar sendiri," katanya.

Dalam pada itu, MMI turut berharap KKM, Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan JPA dapat meluluskan pelanjutan sistem kontrak kepada 10 tahun sebagaimana dicadangkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

"Kami turut berharap ketelusan dalam proses pemilihan bagi perjawatan tetap dan menggesa kriteria pemilihan yang lebih komprehensif dilaksanakan.

"Ini bagi memastikan kualiti doktor yang dipilih adalah terjamin dan mengelakkan ketidakpuasan hati dalam kalangan calon lain," katanya.

Isnin lalu, lebih 100 doktor kontrak di setiap hospital di seluruh negara menyertai perhimpunan aman Gerakan Hartal Doktor Kontrak bagi mengetengahkan beberapa tuntutan kepada kerajaan.

Perhimpunan berkenaan berlaku serentak di semua fasiliti kesihatan di seluruh negara itu mendesak kerajaan menyerap doktor kontrak menjadi pengamal perubatan tetap di KKM.

Berita Harian X