Isnin, 26 Julai 2021 | 2:51pm

Perhimpunan aman Gerakan Hartal Doktor Kontrak

KUALA LUMPUR: Lebih 100 doktor kontrak di setiap hospital di seluruh negara menyertai perhimpunan aman Gerakan Hartal Doktor Kontrak bagi mengetengahkan beberapa tuntutan kepada kerajaan.

Perhimpunan berkenaan berlaku serentak di semua fasiliti kesihatan di seluruh negara itu mendesak kerajaan menyerap doktor kontrak menjadi pengamal perubatan tetap di Kementerian Kesihatan (KKM).

Sesetengah doktor kontrak terbabit dikatakan meninggalkan fasiliti kesihatan, manakala sebahagian lagi yang masih bertugas menunjukkan solidariti dengan mempamerkan plakad, pada jam 10.30 pagi tadi.

Bagaimanapun, masih kelihatan doktor kontrak yang menyertai bantahan aman kira-kira 30 minit itu yang meneruskan tugasan mereka merawat dan mengendalikan pesakit.

Kumpulan doktor kontrak membawa plakad HARTAL DOKTOR KONTRAK menuntut jawatan tetap di Hospital Sungai Buloh. FOTO NSTP/FARIZ ISWADI ISMAIL
Kumpulan doktor kontrak membawa plakad HARTAL DOKTOR KONTRAK menuntut jawatan tetap di Hospital Sungai Buloh. FOTO NSTP/FARIZ ISWADI ISMAIL

Semua doktor kontrak itu dilihat mengenakan pakaian serba hitam sambil memegang plakad dengan slogan 'memberontak tetapi mengutamakan pesakit' disertai tanda pagar #justiceforjuniordoctors #hartal #kontrak, mulai jam 10.30 pagi tadi.

Sesetengah doktor kontrak terbabit dikatakan meninggalkan fasiliti kesihatan, manakala sebahagian masih bertugas dilihat tetap meneruskan tugasan untuk merawat dan mengendalikan pesakit.

Perhimpunan aman yang berlangsung kira-kira 30 minit itu turut dipantau pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan semua pihak, terutamanya ketika negara mencatatkan lonjakan kes positif COVID-19.

Sejak 2016, seramai 786 pegawai perubatan saja dilantik secara tetap, manakala selebihnya berkhidmat secara kontrak.

Jurucakap kumpulan itu, Dr Mustapha Kamal A Aziz, menyifatkan gerakan terbabit berjaya menganjurkan perhimpunan berkenaan walaupun menerima banyak ugutan daripada pelbagai pihak.

Bagaimanapun, pihaknya memaklumkan, belum menerima maklum balas mengenai sebarang tindakan dikenakan kepada doktor kontrak yang menyertai perhimpunan aman terbabit.

"Semua doktor kontrak setuju dan turun bagi menunjukkan solidariti selain pakar perunding kesihatan di setiap hospital pun memberi kita masa dan ruang untuk berbuat demikian.

"Kita akan beri masa selama dua atau tiga hari untuk kerajaan memberi maklum balas, selain pihak kami juga perlu membuat dokumentasi bagi perjalanan perhimpunan serentak di seluruh negara ini.

"Kita mungkin akan membuat sidang media sama ada esok atau lusa untuk menerangkan lebih lanjut mengenai perjalanan perhimpunan berlangsung tadi," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Sabtu lalu, Gerakan Hartal Doktor Kontrak dilapor menjangkakan antara 4,000 hingga 5,000 doktor kontrak seluruh negara menyertai protes yang berlangsung hari ini.

Jumaat lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan kerajaan bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak pegawai perubatan dan pergigian bagi tempoh maksimum empat tahun ke atas.

Perdana Menteri dilapor berkata, ini termasuk mereka diterima bekerja mengikut pengajian kepakaran dalam tempoh dua tahun pertama kontrak masing-masing.

Bagaimanapun, kumpulan doktor kontrak itu tetap mahu meneruskan gerakan Hartal Doktor Kontrak kerana bertegas dengan tuntutannya, iaitu jaminan pelantikan tetap bagi doktor kontrak dan baharu, hak gaji serta kebajikan sama rata dengan doktor tetap, termasuk cuti dan faedah.

Ditanya mengenai ugutan diterima kumpulan doktor kontrak itu, jurucakap kumpulan itu, Dr Mustapha Kamal berkata, mereka berdepan kemungkinan dibuang daripada pendaftaran, mengikut Seksyen 30 Akta Perubatan 1971.

"Gerakan doktor kontrak juga berdepan tindakan tatatertib jika menyertai perhimpunan ini, selain dihalang mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media.

"Pihak polis juga ada mengeluarkan ugutan supaya doktor kontrak tidak menyertai perhimpunan solidariti ini," katanya.

Sementara itu, jurucakap doktor kontrak di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) MAEPS 2.0 yang enggan dikenali berkata, pengarah pusat kuarantin itu bersetuju membantu menyerahkan minit mesyuarat terdahulu berkaitan isu terbabit kepada pihak pengurusan tertinggi KKM.

"Persetujuan ini dicapai dalam mesyuarat tertutup membabitkan Pengarah PKRC MAEPS 2.0 dan beberapa doktor kontrak, pagi tadi. Bukannya kita tak mahu beri kerjasama kepada kerajaan tetapi perkara ini sudah berlarutan sejak 2016," katanya.

Sebahagian doktor kontrak yang menyertai perhimpunan aman Gerakan Hartal Doktor Kontrak di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS). - Foto Ihsan Pembaca.
Sebahagian doktor kontrak yang menyertai perhimpunan aman Gerakan Hartal Doktor Kontrak di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS). - Foto Ihsan Pembaca.
Berita Harian X