Ahad, 25 Julai 2021 | 10:12pm
Dr Noor Hisham merayu supaya doktor kontrak tidak mengabaikan pesakit dengan melakukan mogok. - Gambar Facebook
Dr Noor Hisham merayu supaya doktor kontrak tidak mengabaikan pesakit dengan melakukan mogok. - Gambar Facebook

Mogok doktor jejas nyawa pesakit

KUALA LUMPUR: Kira-kira 12 jam sebelum gerakan mogok doktor kontrak esok, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah merayu supaya mereka tidak meneruskan hasrat itu.

Dr Noor Hisham meminta supaya doktor kontrak tidak mengabaikan pesakit dengan melakukan mogok yang boleh menjejaskan ratusan nyawa serta kerjaya mereka sendiri.

Beliau mengingatkan semua doktor kontrak itu mengenai sumpah yang dilafazkan petugas kesihatan ketika memulakan kerjaya, iaitu 'primum non nocere', bererti 'pertama, jangan membahayakan atau berlaku tidak adil kepada pesakit'.

"Kepada rakan sekerja junior yang berkhidmat secara kontrak, saya menggesa anda semua, tolong jangan sertai demonstrasi dan meninggalkan tugas anda menjaga pesakit.

"Ingatlah, banyak nyawa yang menjadi taruhan, dan demonstrasi ini mungkin menjejaskan nyawa mereka dan kerjaya anda," katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.

Doktor yang dikenakan tindakan tatatertib akan menjejaskan kerjaya mereka. - Gambar Facebook
Doktor yang dikenakan tindakan tatatertib akan menjejaskan kerjaya mereka. - Gambar Facebook

Jumaat lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak pegawai perubatan dan pegawai pergigian untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas.

Perdana Menteri berkata, ini termasuk mereka yang diterima bekerja mengikut pengajian kepakaran dalam tempoh dua tahun pertama kontrak masing-masing.

Bagaimanapun, kumpulan doktor kontrak tetap mahu meneruskan gerakan Hartal Doktor Kontrak kerana bertegas dengan tuntutannya, iaitu jaminan pelantikan tetap bagi doktor kontrak dan baharu, hak gaji serta kebajikan sama rata dengan doktor tetap, termasuk cuti dan faedah.

Gerakan Hartal Doktor Kontrak merancang untuk keluar beramai-ramai daripada fasiliti kesihatan masing-masing, tempat mereka bekerja jam 11 pagi esok sebagai tanda bantahan.

Mogok doktor kontrak, yang dianggarkan berjumlah 23,000 individu, mencetus kebimbangan berikutan jumlah pesakit COVID-19, khususnya yang berada dalam situasi kritikal, melonjak tinggi ketika ini, dengan kapasiti hospital di seluruh negara berada di tahap kemuncak.

Penularan pandemik itu sejak lebih setahun lalu menyebabkan petugas barisan hadapan keletihan, manakala lonjakan jumlah pesakit menyebabkan junlah petugas tidak mencukupi, sekali gus mogok itu dikhuatiri melumpuhkan sistem kesihatan awam negara.

Kementerian Kesihatan menambah katil secara berterusan. - Gambar KKM
Kementerian Kesihatan menambah katil secara berterusan. - Gambar KKM

Dr Noor Hisham mengakui faham dengan tuntutan mereka yang mahu berkhidmat secara tetap, namun berharap mereka menerima terlebih dahulu lanjutan kontrak dua tahun yang diumumkan kerajaan.

Katanya, lanjutan itu bagi memberi tempoh kepada pindaan dilaksanakan terhadap Akta Pencen 1980, supaya jawatan tetap boleh digajikan dengan pilihan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tanpa pencen.

Sementara menunggu pindaan itu, katanya, kerajaan akan membenarkan petugas kontrak untuk menyambung pengajian sarjana, dan menawarkan jawatan tetap dengan pilihan KWSP, apabila tersedia nanti.

"Saya ingin mengingatkan kepada semua keselamatan pesakit keutamaan kita.

"Ingatlah ikrar yang kita lafazkan dengan ikhlas, dan beradalah bersama pesakit ketika mereka dan negara sangat memerlukan anda semua.

"Kita benteng terakhir pertahanan bagi mengubah nasib pesakit kita, dan setiap nyawa penting," katanya.

Berita Harian X