Ahad, 25 Julai 2021 | 8:51pm
Petugas memasukkan vaksin ke dalam picagari di PPV Mega Dewan Serbaguna Encore, Melaka, hari ini. - Foto NSTP/SYAFEEQ AHMAD
Petugas memasukkan vaksin ke dalam picagari di PPV Mega Dewan Serbaguna Encore, Melaka, hari ini. - Foto NSTP/SYAFEEQ AHMAD

Dos penggalak ditentukan minggu depan

KUALA LUMPUR: Syor berkaitan keperluan dos penggalak dan kaedah heterologi bagi vaksinasi COVID-19 di negara ini akan dikemuka pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19, minggu depan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata beberapa negara menggambarkan akan memberi dos ketiga kepada penduduknya, seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), selain beberapa negara Asia Barat yang mengesyorkan pemberian vaksin Pfizer bagi mereka yang lengkap menerima dua dos vaksin Sinopharm, enam bulan lalu.

"Saya difahamkan, kumpulan kerja teknikal yang dipengerusikan Dr Kalaiarasu Peariasamy (Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pemilihan Calon Vaksin COVID-19) Kementerian Kesihatan (KKM)) akan membuat beberapa syor mengenai dos penggalak atau dos ketiga. Ini juga ada kaitan dengan pemberian vaksin berbeza atau kaedah heterologi.

"Jadi, kita memantau semua kes sebenar berbeza yang berlaku di negara lain," katanya dalam temu bual bersama media secara dalam talian, baru-baru ini.

Sebelum ini, Pfizer dan rakan kongsinya BioNTech mengumumkan sudah memohon kelulusan pengawal selia Amerika Syarikat (AS) dan Eropah untuk menawarkan suntikan penggalak, susulan bukti yang menunjukkan individu lengkap divaksin juga berisiko besar terkena jangkitan kerana keberkesanan vaksin menurun selepas enam bulan, selain kewujudan varian Delta yang lebih cepat mudah menular.

Sinovac Biotech Ltd pula memaklumkan, walaupun penyelidikannya menunjukkan peningkatan kadar antibodi penerima vaksin semakin setara selepas dos ketiga, syarikat itu masih mengkaji keperluannya dan prosedur lain yang berkaitan.

- FOTO AFP
- FOTO AFP

Sementara itu, berhubung pemberian vaksin kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pelarian, Khairy berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Bulan Sabit Merah, bagi mengendalikan vaksinasi kepada golongan itu.

Beliau memaklumkan, satu garis panduan sudah pun diluluskan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi menerima golongan yang tidak mempunyai dokumen untuk menerima suntikan di pusat pemberian vaksinasi (PPV).

"Melalui kerjasama ini, mungkin mereka akan rasa selesa kerana pergi ke PPV yang dikendalikan NGO yang biasa mengendalikan perkhidmatan kesihatan untuk golongan pelarian dan PATI ini.

"Saya harap mereka tidak akan rasa takut datang ke PPV. Ini penting kerana jika kita tidak dapat memberi vaksin kepada golongan PATI ini, mereka akan terus memberi risiko kepada diri mereka dan kita," katanya.

Sebelum ini, Khairy memaklumkan, kerajaan akan mempertimbang penggunaan vaksin CanSino yang hanya memerlukan satu dos suntikan bagi vaksinasi lengkap untuk golongan pelarian di negara ini, yang pada masa akan memudahkan dan mempercepat program imunisasi di negara ini.

Berhubung garis panduan berpakaian dan pemakaian alat pelindung muka untuk penerima vaksin seperti yang ditetapkan beberapa PPV, Khairy berkata, pihaknya tidak menetapkan sebarang garis panduan, selain tidak mewajibkan mereka memakai alat perlindungan muka.

"Kita minta orang ramai yang datang ke PPV untuk memakai pakaian yang sesuai, longgar dan (lengan baju) yang mudah disinsing. Sudah tentu di kawasan tertentu, kita ikut apa yang sesuai dan sopan.

"Kita tidak wajibkan pemakaian alat pelindung muka tapi kita galakkan. Kita hanya wajibkan pemakaian pelitup muka," katanya.

Berita Harian X