Ahad, 25 Julai 2021 | 6:32pm
Jabatan Imigresen menjalankan operasi di Kawasan Perindustrian Senawang dan menahan 31 warga asing di Seremban. - Foto JABATAN IMIGRESEN
Jabatan Imigresen menjalankan operasi di Kawasan Perindustrian Senawang dan menahan 31 warga asing di Seremban. - Foto JABATAN IMIGRESEN

Hampir 500 individu langgar SOP

KUALA LUMPUR: Tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) masih mengecewakan apabila hampir 500 individu dan 50 premis melanggar SOP semalam, meskipun kes COVID-19 mencatat lonjakan melebihi 17,000 sehari.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata seramai 482 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP, dengan 457 individu dikompaun, manakala 11 lagi direman dan 14 dijamin.

Katanya, sebanyak 49 premis merangkumi kilang, perniagaan dan tapak pembinaan diarah tutup semalam kerana melanggar SOP kawalan penularan COVID-19.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, tangkapan dan arahan tutup hasil pemantauan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang melaksanakan 82,249 pemeriksaan dan 'snap check' COVID-19 di seluruh negara oleh 18,934 anggota.

"Kerajaan mempertingkat penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang dan premis perniagaan kerana terlalu banyak perlanggaran arahan kerajaan dan SOP yang diwartakan.

"Semalam, Pasukan Petugas Operasi Pematuhan melaksanakan 82,249 pemeriksaan dan 'snap check', termasuk pemeriksaan ke atas 1,300 kilang, 14,025 premis perniagaan, 360 tapak pembinaan dan 173 asrama pekerja.

"Sebanyak 49 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

"Selain itu, 482 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP. Seramai 457 individu dikompaun, manakala 11 lagi direman dan 14 dijamin.

"Orang ramai diingatkan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengamalkan kawalan kendiri dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng yang dilaksanakan semalam memberkas lapan pendatang asing tanpa izin (PATI), serta merampas dua kenderaan darat.

Berhubung saringan wajib pekerja asing, beliau berkata, seramai 99 warga asing menjalani ujian saringan semalam, dan 23 daripadanya didapati positif COVID-19.

"Secara keseluruhan, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 701,391 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan COVID-19 yang membabitkan 36,474 majikan.

"Daripada jumlah itu, seramai 10,488 orang disahkan positif COVID-19. Sehingga kini, sebanyak 1,544 klinik terbabit dengan program saringan yang diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari 2021," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 193 operasi nyahkuman dilaksanakan di seluruh negara semalam, menjadikan keseluruhan 33,931 operasi disinfeksi merangkumi 157 zon dilaksanakan sejak 30 Mac tahun lalu.

Selain itu, katanya, seramai 699 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara semalam dan diarah menjalani kuarantin di stesen kuarantin seluruh negara, menjadikan keseluruhan 256,099 individu pulang ke tanah air sejak 24 Julai tahun lalu.

"Daripada jumlah itu, seramai 9,476 individu dikuarantin dan 243,042 orang dibenarkan pulang, manakala 3,581 lagi dibawa ke hospital," katanya.

Berita Harian X