Sabtu, 24 Julai 2021 | 10:47pm
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan sidang media secara maya mengenai perkembangan semasa kerajaan dalam memerangi pandemik COVID-19 di pejabatnya hari ini. - Foto BERNAMA/PMO
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan sidang media secara maya mengenai perkembangan semasa kerajaan dalam memerangi pandemik COVID-19 di pejabatnya hari ini. - Foto BERNAMA/PMO

Pengusaha PKS akan terus dibantu - Muhyiddin

PUTRAJAYA: Pengusaha perusahaan kecil sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik akan dibantu untuk memulihkan perniagaan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri, ia bagi memastikan PKS di negara ini masih terus beroperasi biarpun realitinya, sebahagian daripada golongan ini sudah tidak mampu bertahan.

"Bayangkan kalau PKS tutup, maknanya seluruh ekonomi kita akan tutup, ini kita tidak boleh biarkan begitu. Ia menyumbang (kepada) 40 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) kita.

"Ia (40 peratus) adalah satu peratusan yang besar dan mungkin satu peratusan yang menjadi penyumbang terbesar," katanya pada sidang media khas, di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, sejak Mac 2020, kerajaan sudah membelanjakan sebanyak RM15 bilion yang dimanfaatkan 330,000 majikan dan syarikat, serta mengekalkan lebih 2.7 juta pekerjaan.

Katanya, bagi peniaga PKS, lebih RM20 bilion sudah dibekalkan dalam bentuk pinjaman mudah melalui skim pinjaman Bank Negara Malaysia (BNM) dan skim pembiayaan mikro kredit.

Perdana Menteri berkata, kepentingan sektor PKS sebagai enjin penting yang mewakili 90 peratus entiti ekonomi negara.

Katanya, kerajaan akan membantu menghidupkan semula syarikat PKS selepas proses vaksinasi selesai.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengakui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan yang berkaitan, mengundang keresahan dalam kalangan masyarakat.

Bagaimanapun, katanya, keadaan semasa mungkin lebih sukar dikawal tanpa pendekatan sedemikian termasuk PKP pertama yang menyaksikan semua sektor ditutup.

Beliau menegaskan, PKP menunjukkan keberkesanannya apabila kes turun dengan cepat tetapi kerajaan memikirkan 'lockdown' tidak boleh dibiar berpanjangan.

"Orang pun dah bosan. Tapi kalau tak buat 'lockdown', kes lebih buruk. Dulu kita buat seluruh negara, selepas itu ikut negeri berdasarkan kelonggaran di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kini lokaliti.

"Pendekatan ini boleh mengurangkan risiko penularan. Kalau nak katakan tak berjaya sepenuhnya, itu betul. Tapi nak katakan tak berkesan itu tak tepat.

"Kena imbangkan antara hidup dan kehidupan. Nak buka semua tak boleh, nak tutup semua tak boleh. Walaupun ancaman COVID-19 masih berterusan, kita buka juga kerana kita meneliti dari segi data dan sains, bukan ikut suka hati atau emosi," katanya.

Berita Harian X