Sabtu, 24 Julai 2021 | 1:20pm
Malaysia Medics International berharap kerajaan memberikan penjelasan lanjut pelan petugas kesihatan kontrak. - Foto hiasan
Malaysia Medics International berharap kerajaan memberikan penjelasan lanjut pelan petugas kesihatan kontrak. - Foto hiasan

MMI minta pelan petugas kesihatan kontrak diperjelaskan

KUALA LUMPUR: Malaysia Medics International (MMI) menyambut baik usaha kerajaan merangka pelan komprehensif dan inklusif untuk kumpulan petugas kesihatan berstatus kontrak namun berharap, ada penjelasan lanjut berkenaan pelaksanannya termasuk dari aspek faedah yang bakal dinikmati.

MMI dalam satu kenyataan, berkata perincian berkenaan garis masa pelaksanaan pelan itu akan memberi lebih jaminan kepada petugas kesihatan kontrak selain turut memudahkan mereka merancang peperiksaan dan latihan pasca siswazah.

"Ini untuk memastikan bekalan berterusan pakar perubatan kerajaan untuk berkhidmat kepada negara.

"Selain itu, laluan kepakaran yang jelas khususnya keseteraan laluan kerjaya dan jumlah keseluruhan tempoh penambahan kontrak akan membantu doktor membuat perancangan strategik yang lebih baik," katanya, hari ini.

Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Kabinet bersetuju supaya Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan khidmat wajib bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan mengikuti pengajian kepakaran.

Perdana Menteri berkata, Kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.

Beliau berkata, Kabinet turut memahami kebimbangan dan masalah yang dihadapi kumpulan Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak berhubung kesetaraan laluan kerjaya mereka.

MMI dalam kenyataannya, turut meminta kerajaan membuat penjelasan berkenaan faedah yang layak diterima pegawai perubatan kontrak terutama berkenaan biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan.

Katanya, ini kerana kenyataan yang dibuat Perdana Menteri memberi gambaran wujudnya perbezaan jaminan mengikuti pengajian peringkat pakar untuk petugas kesihatan tetap dan kontrak.

"Pada masa sama, kami meminta penjelasan mengenai kelayakan petugas perubatan kontrak terhadap faedah yang diberikan kepada petugas kesihatan tetap seperti cuti tugas khas, waran penerbangan dan banyak lagi," katanya.

Dalam pada itu, MMI mencadangkan pelan jangka pertengahan dan panjang disiarkan untuk penelitian semua petugas kesihatan berstatus kontrak dalam kadar segera kerana pada masa ini wujud kekurangan saluran komunikasi yang jelas antara pihak kerajaan dan petugas terbabit.

Katanya, sebagai penyelesaian sementara, dokumen rasmi berkenaan latihan untuk doktor junior perlu disediakan untuk rujukan mereka apabila pelan itu dimuktamadkan.

Sehubungan itu, MMI selaku wakil utama pelajar perubatan dan doktor junior turut menawarkan diri sebagai wakil yang berpotensi untuk berada dalam Jawatankuasa Pembentukan Dasar Kementerian Kesihatan bagi melancarkan urusan komunikasi.

Berita Harian X