Jumaat, 23 Julai 2021 | 9:39pm

16 kilang, 49 premis, 1 tapak binaan diarah tutup

KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 kilang dan 49 premis perniagaan serta satu tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN), semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pasukan Task Force Operasi Pematuhan melaksanakan 78,021 pemeriksaan dan 'snap check' COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan 18,210 anggota.

"Ia termasuk pemeriksaan ke atas 1,756 kilang, 16,010 premis perniagaan, 776 tapak pembinaan dan 256 asrama penempatan pekerja.

"Hasil pemeriksaan, sebanyak 66 premis terdiri daripada 16 kilang, 49 premis perniagaan dan satu tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas perkara berkaitan, Ismail Sabri berkata Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menahan 577 individu atas kesalahan ingkar SOP PPN dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), semalam.

"Seramai 542 individu dikenakan tindakan kompaun manakala 35 lagi direman," katanya.

Mengenai Operasi Benteng (Op Benteng), Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, berkata seramai 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi operasi itu, semalam.

"Seramai tujuh PATI turut diusir melalui dua operasi pengusiran dalam operasi yang dilaksanakan di seluruh negara.

"Menerusi Op Benteng, PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi keselamatan lain turut mendirikan 890 sekatan jalan raya di seluruh negara," katanya.

Sementara itu, katanya, empat premis perniagaan dikenakan kompaun dan satu lagi diberi amaran kerana tidak patuh SOP dalam Pemeriksaan Khas SOP oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), semalam.

Berita Harian X