Jumaat, 23 Julai 2021 | 8:12pm
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba

Semua hospital diarah guna baricitinib rawat pesakit COVID-19

KUALA LUMPUR: Semua hospital sudah diarah menggunakan ubat baricitinib bagi merawat pesakit COVID-19 untuk mencegah peningkatan risiko kesihatan yang lebih meruncing.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata ubat anti viral dan anti radang itu berupaya merawat pesakit dan mengelak mereka daripada beralih kepada kategori yang lebih teruk.

"Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sudah memaklumkan kepada semua hospital untuk menggunakan ubat ini dan peruntukan untuk memperolehnya sudah dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Mohd Shafiq Abdullah.

"Kita mempercepatkan penggunaan ubat ini kerana kita yakin keberkesanannya dapat mencegah peningkatan risiko pesakit kepada kategori yang lebih teruk seperti dari kategori empat kepada lima," katanya pada sidang media khas KKM, hari ini.

Sementara itu, Mohd Shafiq berkata, KKM akan membelanjakan sejumlah RM38 juta bagi perolehan ubat-ubatan bagi merawat pesakit COVID-19 khususnya baricitinib.

"Kita tidak akan melengahkan perolehan darurat ini. Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberi lampu hijau untuk melaksanakan kaedah yang terbaik," katanya.

Sebelum ini, Dr Adham dilaporkan berkata KKM menggunakan formulasi ubat baharu bagi mencegah risiko pesakit kategori satu dan dua daripada menghidapi radang paru-paru.

Beliau berkata, maklumat berhubung peningkatan atau peralihan daripada pesakit kategori 1 kepada keadaan kesihatan yang lebih meruncing, iaitu kategori 3 hingga 5 adalah sangat dinamik.

Sehubungan itu, katanya, KKM sentiasa memantau dan mewajibkan pesakit membuat penilaian kesihatan kendiri menerusi aplikasi MySejahtera.

"Sekarang ini kita gunakan formulasi ubat baharu, iaitu dengan memberikan baricitinib, dengan kadar dua hingga empat miligram kepada individu yang disahkan positif COVID-19.

"Ubat ini bagi mencegah risiko peningkatan kepada kategori yang lebih teruk seperti 3, 4 dan 5," katanya.

Berita Harian X