Khamis, 22 Julai 2021 | 7:02pm
Pasukan Task Force Operasi Pematuhan menjalankan 78,604 pemeriksaan dan ‘snap check’ COVID-19 di seluruh negara semalam. - Foto NSTP
Pasukan Task Force Operasi Pematuhan menjalankan 78,604 pemeriksaan dan ‘snap check’ COVID-19 di seluruh negara semalam. - Foto NSTP

4 kilang, 30 premis langgar SOP diarah tutup

KUALA LUMPUR: Sebanyak empat kilang dan 30 premis perniagaan diarah tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Pasukan Task Force Operasi Pematuhan menjalankan 78,604 pemeriksaan dan 'snap check' COVID-19 di seluruh negara sepanjang tempoh 24 jam semalam.

Katanya, secara keseluruhan pemeriksaan dilakukan ke atas 1,735 kilang, 15,285 premis perniagaan, 771 tapak pembinaan dan 266 asrama penempatan pekerja.

"Kerajaan sentiasa berusaha mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis perniagaan.

"Ini kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang sudah diwartakan dilaporkan," katanya dalam kenyataan harian mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Berita Harian X