Khamis, 22 Julai 2021 | 11:51am

Jumlah pemberian vaksin kini lebih 15 juta dos

KUALA LUMPUR: Jumlah pemberian vaksin COVID-19 kini 15,517,866 dos suntikan di seluruh negara setakat semalam, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menerusi perkongsian di Twitter, beliau memaklumkan sebanyak 446,052 dos vaksin diberikan hingga 11.59 malam tadi, merangkumi 282,980 individu menerima suntikan pertama manakala 163,072 penerima dos kedua.

"Perkembangan baharu itu menjadikan jumlah terkini individu lengkap dua dos vaksin sebanyak 4,932,981 iaitu 15.1 peratus, populasi rakyat negara ini," katanya.

Kadar pemberian vaksin atau inokulasi semalam menyaksikan ia perangkaan kedua tertinggi, semalam iaitu 446,052 dos dalam tempoh 24 jam.

Jumlah inokulasi tertinggi yang pernah direkodkan sebelum ini ialah pada 15 Julai lalu, membabitkan 460,158 dos.

Perangkaan semalam, sekali gus menyaksikan lonjakan semula pada kadar inokulasi biasa, sebanyak 48.9 peratus berbanding 299,593 dos yang direkodkan, kelmarin, susulan cuti umum Aidiladha.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV), menjelaskan sebanyak 282,980 terdiri daripada dos pertama, manakala 163,072 ialah dos kedua.

Berdasarkan jumlah keseluruhan 15,517,866 dos vaksin diberikan sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsan (PICK) dilaksanakan pada 23 Februari lalu, sebanyak 10,584,885 meliputi dos pertama, manakala 4,932,981 ialah dos kedua.

Sekiranya dihitung, jumlah pemberian dos kedua vaksin di seluruh negara setakat semalam itu mewakili 15.1 peratus daripada populasi di Malaysia dan mencecah 21.1 peratus daripada jumlah individu dewasa di negara ini.

Mengikut pembahagian negeri, Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur dan Selangor mendahului jumlah pemberian vaksin dengan 5,679,875 dos, diikuti Sarawak (2,617,359 dos) dan Johor (1,144,562 dos).

Perbandingan antara kadar pemberian vaksin dengan jumlah populasi dewasa pula menyaksikan Wilayah Persekutuan Labuan kini berada pada tahap 68 peratus, iaitu yang tertinggi, disusuli Sarawak (49.4 peratus), Perlis (36.5 peratus), Lembah Klang (22.7 peratus), Negeri Sembilan (21.8 peratus) dan Melaka (19.3 peratus).

Berita Harian X