Rabu, 21 Julai 2021 | 6:53pm
Kerajaan Persekutuan hari ini mengeluarkan tatacara bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam dan pengoperasian pejabat kerajaan mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa mulai 26 Julai ini. - Foto hiasan NSTP
Kerajaan Persekutuan hari ini mengeluarkan tatacara bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam dan pengoperasian pejabat kerajaan mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa mulai 26 Julai ini. - Foto hiasan NSTP

Kerajaan keluarkan tatacara BDR

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan hari ini mengeluarkan tatacara bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam dan pengoperasian pejabat kerajaan mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa mulai 26 Julai ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata ia bagi mengoptimumkan perkhidmatan kerajaan manakala Ketua Jabatan perlu menentukan kehadiran pegawai yang diperlukan mengikut tatacara yang dikeluarkan itu.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan Kerajaan bersetuju dengan perubahan kadar peratusan kehadiran ke pejabat bagi sektor awam berdasarkan kepada perkembangan positif kadar vaksinasi negara.

"Pelaksanaan BDR hendaklah berdasarkan kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020 - Dasar Bekerja Dari Rumah.

Ketua Jabatan juga perlu memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi pada setiap masa untuk mencegah penularan wabak COVID-19 di pejabat masing-masing," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Melalui arahan itu, pengoperasian pejabat kerajaan di kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah 100 peratus BDR, namun tidak termasuk petugas barisan hadapan, keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan.

Kaunter perkhidmatan di kawasan PKDP juga ditutup sepenuhnya kecuali membabitkan kesihatan, balai polis dan di pintu masuk antarabangsa yang membabitkan perkastaman, imigresen serta kuarantin.

Sebarang mesyuarat pejabat kerajaan dalam kawasan PKPD juga perlu dilakukan secara dalam talian melalui medium yang selamat dan terjamin kerahsiaan manakala perjumpaan atau aktiviti fizikal tidak dibenarkan.

Bagi pejabat kerajaan di kawasan yang berada dalam Fasa 1 pula, maksimum 40 peratus daripada penjawat awam bekerja di pejabat dan 60 peratus lagi secara BDR; kaunter perkhidmatan beroperasi pada kadar 50 peratus dengan kehadiran pelanggan secara janji temu manakala mesyuarat juga secara dalam talian.

Pejabat kerajaan yang beroperasi di kawasan yang kini dalam Fasa 2 PPN pula boleh membenarkan 60 peratus penjawat awam bekerja di pejabat dan 40 peratus secara BDR; perkhidmatan kaunter juga pada kadar 60 peratus namun mesyuarat masih lagi secara dalam talian.

Sebanyak 80 peratus penjawat awam boleh bekerja di pejabat dalam Fasa 3 PPN dengan 20 peratus lagi secara BDR, dan perkhidmatan kaunter adalah pada kadar 80 peratus dan kehadiran pelanggan dibenarkan tanpa janji temu manakala mesyuarat dibenarkan secara hibrid dengan kapasiti dalam bilik mesyuarat tidak lebih 50 peratus.

Fasa 4 pula membolehkan semua penjawat awam beberja dari pejabat dengan mereka yang memerlukan masih dibenarkan secara BDR.

Perkhidmatan kaunter perkhidmatan juga dibenarkan beroperasi sepenuhnya tanpa memerlukan janji temu manakala mesyuarat dibenarkan secara fizikal, namun Ketua Jabatan digalakkan mengadakan mesyuarat secara hibrid atau dalam talian.

Berita Harian X