Rabu, 21 Julai 2021 | 2:23pm

76 lagi kes varian Delta di Sarawak

KUCHING: Sebanyak 76 lagi kes baharu COVID-19 varian Delta (B.1.167.2) dikesan di negeri ini.

Pengarah Institut Perubatan dan Kesihatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak, Prof Dr David Perera, berkata kes itu dikesan dalam pengesanan dan pengawasan berterusan Varian SAR-COC-2 yang sedang menular.

Beliau berkata, sampel daripada kes positif itu diuji antara 7 Jun hingga 13 Julai lalu.

"Majoriti kes dikesan di Kuching iaitu sebanyak 52," katanya dalam laporan yang dikemukakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini.

Dr Perera berkata, kes berkenaan dikenal pasti dalam sampel dari Hospital Sentosa, Balai Polis Satok serta beberapa lagi lokasi di Kuching.

"Varian itu juga dikesan di Serian iaitu sebanyak 11 kes, Samarahan sebanyak tiga kes, Sri Aman lima kes, manakala Sibu, Miri dan Betong masing-masing satu kes.

"Kita juga mengesan satu kes masing-masing bagi kategori Import A dan Import B," jelasnya.

Dengan 76 kes baharu yang dilaporkan hari ini, Sarawak kini merekod 93 kes varian Delta.

Berita Harian X