Selasa, 20 Julai 2021 | 7:11pm
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

38 premis langgar SOP diarah tutup

KUALA LUMPUR: Sebanyak 38 premis membabitkan kilang, perniagaan dan tapak pembinaan diarah tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan COVID-19 yang ditetapkan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata arahan penutupan itu dilaksanakan hasil daripada 83,215 pemeriksaan dan 'snap check' oleh hampir 20,000 anggota Pasukan Petugas Operasi Pematuhan, semalam.

"Kerajaan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh pemeriksaan terhadap kilang dan premis perniagaan kerana terlalu banyak perlanggaran arahan kerajaan dan SOP yang diwartakan.

"Semalam, Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melaksanakan 83,215 pemeriksaan dan 'snap check' COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 19,567 orang.

"Ia termasuk pemeriksaan ke atas 1,970 kilang, 16,530 premis perniagaan, 1,031 tapak pembinaan dan 272 asrama penempatan pekerja.

"Hasil pemeriksaan itu, sebanyak 38 premis meliputi kilang, perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, seramai 388 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP, dengan 355 individu daripadanya dikenakan kompaun, 31 direman dan dua lagi dijamin.

"Orang ramai diingatkan untuk sentiasa mematuhi SOP ditetapkan dan mengamalkan kawalan kendiri dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19," katanya, memaklumkan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan 83,215 pemeriksaan semalam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan Operasi BENTENG (Op BENTENG), semalam berjaya memberkas 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas tiga kenderaan darat.

Selain itu, katanya, seramai 383 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara semalam, dan semuanya diarah menjalani kuarantin di stesen kuarantin seluruh negara.

"Secara kumulatifnya, sejak 24 Julai tahun lalu, seramai 252,422 individu pulang ke tanah air dan semua ditempatkan di 82 hotel dan 11 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

"Daripada jumlah berkenaan, seramai 9,197 individu dikuarantin dan 239,846 orang dibenarkan pulang, manakala 3,379 lagi dibawa ke hospital," katanya, memaklumkan sebanyak 159 operasi disinfeksi di 67 zon merah, lima zon jingga dan empat zon kuning turut dilaksanakan semalam.

Berita Harian X