Isnin, 19 Julai 2021 | 6:20pm
Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto NSTP
Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto NSTP

Berkorban dengan patuhi SOP sempena Aidiladha - Azmin

KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini disaran untuk melaksanakan pengorbanan dengan mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 sepanjang sambutan Aidiladha tahun ini.

Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata umat Islam perlu menjadikan pengorbanan Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar sebagai pengajaran bagi mendepani cabaran pandemik ketika ini.

Katanya, pengorbanan sepanjang Aidiladha tahun ini adalah penting bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga serta masyarakat terpelihara.

"Meskipun Aidiladha tahun ini menuntut kita untuk berkorban dalam dimensi yang lain, kita harus yakin ia penting bagi melindungi kesihatan dan keselamatan diri serta keluarga.

"Patuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan, amalkan tertib penjagaan kesihatan yang berkesan demi kesejahteraan kita bersama. Saya berdoa ke hadrat Allah SWT semoga kesabaran hari ini akan mencipta keagungan masa hadapan," katanya dalam perutusan Aidiladha 2021 hari ini.

Sambutan Aidiladha berkait rapat dengan pengorbanan dan kesabaran Siti Hajar yang berlari antara Bukit Safa dan Marwah di Makkah, bagi mencari air untuk anaknya, Nabi Ismail yang kemudian menjadi antara rukun ibadah haji.

Ibadah korban yang dilaksanakan umat Islam ketika Aidiladha pula adalah bagi memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail berhubung ketaatan kepada perintah Allah SWT.

Mohamed Azmin berkata, kisah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar perlu diteladani bagi memberi kekuatan kepada umat Islam di Malaysia bagi mendepani cabaran ketika ini.

"Kesabaran dan keyakinan penting untuk menjamin penyelesaian yang holistik demi kemaslahatan pada masa akan datang," katanya.

Berita Harian X