Ahad, 18 Julai 2021 | 9:37pm

Tabung Haji jamin kepentingan 8.3 juta pendeposit

KUALA LUMPUR: Tabung Haji memberi jaminan akan terus memelihara kepentingan 8.3 juta pendeposit dalam cadangan penambaikan pengurusan dan operasinya.

Dalam kenyataannya, Tabung Haji memberi jaminan akan menyarankan kepada kerajaan supaya hak mutlak pengurusan dan operasi haji terus kekal bersama institusi itu.

Ia juga akan memastikan jaminan kerajaan ke atas deposit di Tabung Haji mengikut Seksyen 24 Akta Tabung Haji 1995 terus kekal untuk kepentingan pendeposit.

Katanya, saranan seterusnya ialah pembabitan Tabung Haji dalam sektor ekonomi dibuat berdasarkan tadbir urus, pengurusan dan operasi yang utuh di samping akan terus membuat penambahbaikan dalam aspek terbabit, termasuk pelaburan.

"Tabung Haji juga menyarankan untuk terus kekal relevan melalui usaha dan inisiatif ini, serta akan bekerjasama dan terbabit dalam kajian Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Negara (BNM) demi kepentingan pendeposit dan Tabung Haji sendiri," katanya.

Tabung Haji memberi jaminan cadangan penambahbaikan pengurusan dan operasi mahupun pelaksanaan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tidak akan mengganggu urusan pendeposit, manakala operasi harian Tabung Haji akan berjalan seperti biasa.

Rabu lalu, Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi TH bermula 2014 hingga 2020, termasuk pelan pemulihannya.

Skop siasatan RCI itu merangkumi hasil pengauditan perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger.

Tabung Haji turut menggesa supaya kajian menyeluruh oleh JPM, MOF, BNM dan Tabung Haji dibuat untuk menilai model operasi baharu yang dicadangkan dan semakan pindaan Akta Tabung Haji 1995.

Katanya, ia mestilah mengambil kira kapasiti Tabung Haji, termasuk aset, liabiliti dan kepakaran sumber manusia.

Katanya, aspek tadbir urus, integriti dan reputasi Tabung Haji sebagai institusi simpanan kewangan Islam amat penting bagi memastikan keyakinan dan kepentingan orang ramai terjamin.

Tambah kenyataan itu, keyakinan dan kepercayaan pendeposit itu dibuktikan melalui perkembangan Tabung Haji sejak 1963 dengan deposit kira-kira RM46,000 sehingga melonjak kepada hampir RM82 bilion pada hari ini.

"Keyakinan dan kepercayaan ini adalah satu amanah yang amat berat dan Tabung Haji perlu sentiasa berusaha untuk menambah baik dan mengukuhkan tadbir urus dan operasinya bagi menjaga kepentingan pendeposit," katanya.

Berita Harian X