Ahad, 18 Julai 2021 | 6:45pm
 - Foto hiasan
- Foto hiasan

'Kepentingan pendeposit TH dilindungi' - MoF

KUALA LUMPUR: Penambahbaikan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bertujuan melindungi kepentingan pendeposit, selain memastikan keteguhan kewangan TH terus menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan negara.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan hari ini menegaskan, keputusan meletakkan TH di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) bertujuan menambah baik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh.

Katanya, ia bagi melindungi kepentingan pendeposit dan memperkasakan kedudukan kewangan TH dalam memenuhi mandat, selaras amalan standard tadbir urus baik yang ditetapkan oleh Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pencegahan Rasuah (UNCAC).

"TH adalah institusi kewangan sistemik dan berhubung rapat dengan sistem kewangan negara berikutan skala operasinya yang besar dari segi saiz deposit dan pelaburan.

"Ia mengurus hampir RM82 bilion deposit pada suku kedua 2021, merangkumi 10 peratus daripada jumlah deposit sistem perbankan Islam.

"Sebahagian daripada deposit yang diterima ini diletakkan di institusi perbankan Islam.

"Pengeluaran deposit secara mendadak berupaya mencetuskan masalah kecairan bagi institusi perbankan Islam berkenaan," katanya.

Kenyataan MoF itu menyebut, TH memegang RM36 bilion sukuk korporat dan mempunyai aset saham besar dalam bentuk pelaburan strategik di pelbagai syarikat korporat, termasuk yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

"TH adalah pemegang saham terbesar Bank Islam Malaysia Berhad.

"Bagi meningkatkan kemampanan TH dalam jangka panjang, cadangan aturan pengawalseliaan yang lebih formal di bawah BNM akan meletakkan TH sebagai institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 [Akta 759].

"Pemantauan dan kawal selia BNM adalah komponen penting dalam memperkasakan TH sebagai institusi Islam berdaya tahan dalam ekosistem kewangan negara dan menjadikannya syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang cemerlang dan lestari di peringkat global," katanya.

MoF berkata, BNM dipertanggungjawabkan di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009 [Akta 701] antara lainnya untuk memelihara kestabilan sistem kewangan negara.

Bagi melaksanakan mandat berkenaan, katanya, BNM diberi kuasa menurut Akta 701 dan Akta 759 termasuk mengawal selia institusi kewangan bersifat sistemik, tertakluk kepada keperluan tadbir urus yang terkandung di dalam Akta-Akta berkenaan.

"Pendekatan sama diguna pakai dalam mengawal selia institusi kewangan pembangunan yang ditubuhkan dengan mandat khusus seperti Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat).

"Justeru, cadangan rangka kerja pengawalseliaan oleh BNM ke atas TH akan disesuaikan berdasarkan ciri-ciri dan risiko model perniagaannya iaitu 'fit-for-purpose regulation', tidak semestinya sama dengan institusi perbankan lain.

"Contohnya, keperluan pematuhan kecukupan modal khusus akan dibangunkan bersesuaian model perniagaan TH iaitu pengambilan deposit (bahagian liabiliti) untuk tujuan pelaburan (bahagian aset).

"Ini berbeza dengan institusi perbankan yang mengambil deposit (bahagian liabiliti) bagi tujuan utama memberi pembiayaan (bahagian aset)," katanya.

Katanya, keperluan kecairan yang bersesuaian dengan ciri-ciri deposit dan pelaburan bagi memastikan TH dapat mengurus aspek kecairan dengan lebih mantap dalam memenuhi kehendak pengeluaran pendepositnya tanpa mendatangkan kesan negatif terhadap keberuntungan TH dan sistem kewangan secara keseluruhannya.

"Pengawalseliaan BNM perlu bagi mewujudkan semak dan imbang selaras ketetapan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah.

"BNM akan menumpukan peranan kawal seliaan terhadap aktiviti pengambilan deposit, pengurusan risiko, tadbir urus korporat dan ketelusan," katanya.

MoF berkata, pendekatan semak dan imbang sama dilaksanakan dalam pasaran modal dan industri lain.

Sebagai contoh, katanya, Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang dikawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) tidak menghalang PNB melaksanakan mandat asal dalam melaksanakan agenda pembangunan negara terutamanya memakmurkan ekonomi Bumiputera.

"Dalam industri tenaga, Tenaga Nasional Bhd (TNB) sebagai pemain industri dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengawal selia industri komunikasi.

Dalam konteks syariah, katanya, BNM mempunyai Majlis Penasihat Syariah dianggotai cendekiawan syariah dan individu berpengetahuan serta berpengalaman, selain diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Walaupun TH dicadangkan sebagai Institusi Kewangan Islam yang ditetapkan, MoF menegaskan, kerajaan tetap memberi jaminan terhadap simpanan pendeposit.

"Pendeposit TH terus menikmati jaminan kerajaan seperti sekarang (status quo) sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Tabung Haji 1995 [Akta 535].

"Pendekatan ini sama seperti BSN yang dikawal selia BNM yang mana simpanan pendeposit dijamin sepenuhnya oleh kerajaan," katanya.

MoF berkata, setiap aktiviti pelaburan TH mesti patuh syariah dan penilaian pelaburan perlu dilaksanakan menerusi proses teliti serta telus seperti mana amalan institusi dana lain.

"Ini bagi memastikan pelaburan dibuat teratur dan berpandukan 'risk appetite' TH, selain menjamin pembayaran hibah dibuat selaras ketetapan menerusi peruntukan Seksyen 22(3) Akta 535.

"MoF akan bekerjasama rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk memastikan hak mutlak dan kepentingan pendeposit TH tidak terhakis, malah akan ditambah baik," katanya.

Berita Harian X