Ahad, 18 Julai 2021 | 6:10pm

Seliaan BNM cegah pemusatan kuasa TH

KUALA LUMPUR: Pemusatan kuasa yang terlalu besar ke atas individu atau pihak bagi menyelia Tabung Haji (TH) dikhuatiri bakal mengundang isu ketidakcekapan tadbir urus.

Menjelaskan pendirian itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri, berkata TH diberi amanah untuk menjaga wang lebih 8.3 juta pendeposit, justeru operasinya perlu dilaksana secara jujur, amanah dan berintegriti.

Sehubungan itu, katanya, institusi kewangan terbesar umat Islam berkenaan memerlukan kawal selia daripada badan yang mempunyai kepakaran seperti Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan TH kekal pada landasan sebenar.

"Pelaksanaan model baharu operasi TH ini untuk menambah baik tadbir urus dan model perniagaan, malah ia akan diteliti secara bersama oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, BNM dan TH.

"Ini bagi memastikan TH sentiasa mapan dalam menguruskan ibadah haji umat Islam di Malaysia, di samping melaksanakan perniagaan dan pelaburan bagi memberikan potensi pulangan yang baik untuk pendeposit sekali gus menjana ekonomi umat Islam.

"Bagaimanapun, kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ke atas TH, selaras peruntukan Seksyen 10 Akta Tabung Haji 1995 akan terus kekal terutama dari segi operasi dan penyelarasan Jemaah Haji.

"Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga akan terus kekal sebagai menteri bertanggungjawab bagi TH bagi memastikan hak umat Islam dan bakal jemaah haji terpelihara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Jumaat lalu, dilaporkan berkata pihaknya terkejut dengan perancangan meletakkan TH di bawah kawal selia BNM, selain melakukan penilaian semula model operasi TH dan semakan Akta TH 1995.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, semalam menjelaskan bahawa kerajaan kekal komited untuk memberikan jaminan kepada simpanan pendeposit walaupun TH akan dikawal selia oleh BNM, menerusi cadangan model baharu operasinya.

Zulkifli menafikan bahawa kawal selia BNM berupaya menghakis hak menteri bertanggungjawab dan umat Islam terhadap TH.

"Ini kerana setiap institusi kewangan yang dikawal selia BNM mempunyai model pengurusan berbeza dan boleh terus mengekalkan punca kuasa sedia ada, seperti Bank Rakyat yang masih di bawah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

"Cadangan penambahbaikan pengurusan dan operasi TH selaras hasrat kerajaan untuk menjunjung nilai integriti dan tadbir urus yang baik berasaskan lapan prinsip utama yang digariskan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UNESCAP).

"Konsep tadbir urus yang baik juga dianjurkan dalam Islam, berdasarkan manifestasi tertinggi konsep ihsan seperti dinyatakan dalam hadis riwayat al-Bukhari, nombor 50.

"Saya harap semua umat Islam dapat memberikan kepercayaan kepada saya, Menteri Kewangan dan kerajaan dalam melaksanakan penambahbaikan ke atas TH.

"Sesungguhnya TH mempunyai signifikan yang besar ke atas umat Islam. Perkara utama ialah memperkasa TH dan berada dalam situasi tadbir urus yang diyakini tanpa sebarang keraguan," katanya.

Berita Harian X