Ahad, 18 Julai 2021 | 2:19pm

Tabung Haji: Kerajaan teliti kebimbangan masyarakat

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti semua cadangan dan kebimbangan masyarakat berhubung langkah penambahbaikan pengurusan serta operasi Lembaga Tabung Haji (TH) yang antara lain bakal dikawal selia Bank Negara Malaysia (BNM).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata walaupun perubahan itu masih di peringkat cadangan, ia akan dipastikan tidak menjejaskan kepentingan umat Islam dan kemurnian falsafah kewujudan TH.

Katanya, kerajaan juga terbuka dengan cadangan atau kebimbangan masyarakat yang disifatkannya sebagai tanda kasih sayang mereka terhadap institusi itu.

"Segala kebimbangan, kerunsingan masyarakat itu kita sentiasa teliti dan ambil kira termasuk dari Pemuda UMNO.

"Ini adalah terjemahan manifestasi sayangnya rakyat kepada TH, sama juga dengan kerajaan," katanya kepada BH, hari ini.

Ditanya perincian kesan perubahan itu, Ahmad Marzuk menjelaskan perkara itu perlu dirujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Jumaat lalu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya terkejut dengan perancangan meletakkan TH di bawah kawal selia BNM disamping penilaian semula model operasi TH dan semakan Akta TH 1995.

"Kerajaan jangan sama sekali terburu-buru melakukan perubahan terhadap TH kerana sebarang tindakan yang dilihat memberikan kerugian kepada pendeposit akan menyebabkan 'backlash' daripada umat Islam dan merosakkan imej kerajaan secara keseluruhan!" katanya dalam kenyataan sebelum ini.

Semalam, Tengku Zafrul di Facebook menjelaskan walaupun dalam cadangan model baharu operasi TH, kerajaan komited bahawa simpanan pendeposit dijamin sepenuhnya walaupun institusi itu akan dikawal selia BNM.

"Pendekatan ini adalah sama seperti Bank Simpanan Nasional (BSN) yang dikawal selia oleh BNM di mana simpanan pendeposit masih dijamin sepenuhnya oleh kerajaan," katanya.

Tengku Zafrul dilaporkan berkata semakan semula Akta 535 adalah bagi memastikan aspek tadbir urus, integriti dan reputasi ditambah baik sebagai asas perlindungan lebih kukuh bagi pendeposit.

Berita Harian X