Sabtu, 17 Julai 2021 | 9:13pm
Gambar hiasan. - foto fail NSTP
Gambar hiasan. - foto fail NSTP

64 premis tidak patuh SOP diarah tutup

KUALA LUMPUR: Sebanyak 64 premis membabitkan kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Pasukan Task Force Operasi Pematuhan, semalam memeriksa 2,239 kilang, 14,551 premis perniagaan, 793 tapak pembinaan dan 293 asrama penempatan pekerja.

"Hasil daripada pemeriksaan, 64 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Secara keseluruhan, katanya, pasukan itu melaksanakan 82,402 pemeriksaan dan snap check COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 18,526 orang, semalam.

Dalam pada itu, katanya pelaksanaan Op Patuh di bawah Kementerian Dalam Negeri akan dipergiatkan lagi bagi memastikan pematuhan tinggi oleh premis-premis perniagaan dan kilang.

"Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang kerap mengulangi kesalahan dan tidak teragak-agak untuk menutup operasi premis atau kilang mereka serta merta.

"Pada masa yang sama, Op Patuh yang dilaksanakan juga bertujuan meningkatkan kesedaran majikan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan pekerja sentiasa dijaga serta terpelihara sekiranya diberi kebenaran beroperasi oleh kerajaan," katanya.

Selain itu, katanya pekerja juga diminta untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya majikan mengambil tindakan beroperasi tanpa kebenaran atau tidak menyediakan tempat kerja yang mematuhi SOP yang ditetapkan.

Katanya lagi, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha sektor ekonomi terutamanya kilang yang tidak mematuhi SOP atau mengingkari arahan kerajaan.

Berita Harian X