Khamis, 15 Julai 2021 | 8:53pm
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

180 premis kilang, tapak pembinaan diarah tutup

KUALA LUMPUR: Sebanyak 180 premis termasuk kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarah tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP ) yang ditetapkan kerajaan, semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berkata, arahan itu dikeluarkan Pasukan Petugas Khas Pematuhan yang melaksanakan 80,339 pemeriksaan dan pemeriksaan mengejut COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 19,029 orang.

"Ini termasuk pemeriksaan ke atas 2,246 kilang, 15,682 premis perniagaan, 924 tapak pembinaan dan 326 asrama penempatan pekerja," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, seperti yang diumumkan sebelum ini, kerajaan sudah mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh pemeriksaan ke atas kilang dan premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan serta SOP yang diwartakan.

Sementara itu, beliau berkata, hanya seorang daripada 143 warga asing yang menjalani ujian saringan COVID-19 didapati positif, semalam.

Katanya, secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 700,943 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan COVID-19 membabitkan 36,445 majikan.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 10,411 orang disahkan positif COVID-19.

"Sehingga kini, sebanyak 1,544 klinik terbabit dengan program saringan ini," katanya.

Ismail yang juga Menteri Pertahanan berkata, seperti yang diumumkan sebelum ini, ujian saringan COVID-19 adalah diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari lalu.

Berita Harian X