Isnin, 12 Julai 2021 | 7:31pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Pusat khidmat pelanggan telco di pasar raya boleh beroperasi

KUALA LUMPUR: Semua premis pusat perkhidmatan pelanggan syarikat telekomunikasi dalam pusat beli-belah dan pasar raya dibenarkan beroperasi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kebenaran operasi diberikan sepanjang Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa esok.

"Kebenaran ini diberikan selepas mendapat persetujuan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), hari ini, " katanya dalam kenyataan PPN dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, sebanyak 17 premis membabitkan kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarah tutup semalam kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Katanya, arahan dibuat selepas Pasukan Petugas Operasi Pematuhan melaksanakan 78,975 pemeriksaan COVID-19 di seluruh negara, membabitkan 19,477 anggota.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan meningkatkan penguatkuasaan menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang dan premis perniagaan kerana terlalu banyak

pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang diwartakan.

"Semalam, pemeriksaan dibuat ke atas 2,087 kilang, 16,086 premis perniagaan, 625 tapak pembinaan dan 449 asrama penempatan pekerja sebelum 17 daripadanya diarah tutup," katanya.

Berita Harian X